Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto MOHD ADZLAN, 25 MAC 2024.

PUTRAJAYA – “Saya tidak ada maklumat (mengenai adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak),” kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

“Tidak, tidak (nampak adendum terhadap Najib). Saya bukan anggota Lembaga Pengampunan. Saya pun tidak tahu,” jawabnya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan sama ada beliau ada melihat adendum terhadap Najib seperti yang didesak peguamnya, Tan Sri Shafie Abdullah.

Dalam pada itu, Saifuddin turut menafikan beliau mempunyai pengetahuan mengenai dokumen tambahan dalam adendun berkenaan.

“Saya tiada maklumat berkaitan dokumen tambahan, dia (Shafie Abdullah) kata dia ada. Sebab itu saya kata, saya akan teliti seatakat mana yang ada pengetahuan kepada kita,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Saifuddin menjelaskan beliau ada menerima surat daripada Shafie minggu lepas namun enggan mendedahkan kandungan surat berkenaan.

“Apa disebut dalam mahkamah, itulah kandungan surat beliau yang saya terima. Hari ini pun saya ikuti dalam laporan berkaitan adendum dan segala macam sudah tentu saya akan respon bila sampai masa tentang apa perkara dalam pengetahuan kita.

“Setakat itu saya boleh komen. Saya boleh sahkan telah menerima surat, sekarang pun mengikuti menerusi laporan media,” katanya lagi.

Semalam, Najib mendakwa bahagian tambahan atau titah adendum dalam pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membenarkannya untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah.

Najib membuat dakwaan itu apabila memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman titah adendum atau tambahan titah Al-Sultan Abdullah di Mahkamah Tinggi pada 1 April lalu, menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Dalam notis permohonan yang dimuat turun melalui sistem carian mahkamah, Najib memohon perintah untuk semua atau seorang responden melaksanakan titah Al-Sultan Abdullah dan dengan serta merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya. – MalaysiaGazette