MELAKA – Pengguna lebuh raya diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap pemandu kenderaan yang menggunakan laluan Smart Lane untuk melancarkan pergerakan trafik ketika cuti Hari Raya Aidilfitri minggu depan.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan, mereka sebaliknya perlu lebih peka dengan maklumat papan tanda dan lampu isyarat 18 laluan itu yang diaktifkan bermula Syawal ini.
“Jangan sewenang-wenangnya ambil tindakan seolah-olah ada pengguna lakukan kesalahan menggunakan Smart Lane ini dan sebagainya.
“Kena lihat setiap 18 lokasi ini ada diletakkan tanda-tanda di mana lokasi ia bermula dan tamat selain keberadaan pekerja konsesi lebuh raya di kawasan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam operasi di Jalan Tun Fatimah, Bachang di sini lewat petang semalam.

Hadir sama Timbalan Pengarah Seksyen Dasar dan Perancangan Strategik Bahagian Penguat Kuasa JPJ, Dr Azmi Awang dan Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff.
Lokman diminta mengulas mengenai perbuatan membuli pengguna jalan raya yang menggunakan laluan Smart Lane itu seperti dalam kejadian video yang tular sebelum ini.
Video berdurasi satu minit 11 saat itu memaparkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi berhenti di hadapan sebuah kereta yang menggunakan lorong kecemasan diaktifkan Smart Lane sebelum merosakkan cermin sisi kenderaan berkenaan.
Mengulas lanjut, Lokman berkata, laluan Smart Lane iaitu lorong paling kiri sedia ada bagaimanapun tidak dibuka sepanjang masa sebaliknya hanya pada waktu tertentu di sebelah siang untuk mengurangkan kesesakan.
“Laluan tambahan untuk ini tidak akan diaktifkan pada waktu malam kerana ia lebih mendatangkan bahaya berbanding waktu siang,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, JPJ mengeluarkan sejumlah 14,683 notis atas pelbagai kesalahan dalam Op Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 sejak 1 April hingga kelmarin.
Daripada jumlah itu, sebanyak 7,785 notis membabitkan motosikal antaranya 3,283 kes kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans dan tiada lesen memandu sebanyak 2,681 kes.
Selain itu JPJ juga melaksanakan pemeriksaan di 54 depoh dan 28 terminal bas utama sepanjang tempoh ini bagi memastikan kelancaran dan kecekapan operasi perkhidmatan pengangkutan awam. – MalaysiaGazette
















