Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan penahanan Excokerajaan Melaka itu.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi membolehkan siasatan berhubung isu stoking tertera kalimah Allah dijalankan.

“Saya sahkan Dr.Akmal dibawa ke IPK Sabah untuk membolehkan kita (polis) menjalankan siasatan terhadap laporan polis yang dibuat terhadapnya.

“Dua laporan polis yang dibuat adalah berhubung ucapan dan tindakannya tentang isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di kedai serbaneka KK Mart,” katanya.

Tambah Razarudin, Dr Akmal akan dirakam keterangan oleh polis untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Pagi hari ini, Razarudin menerusi satu kenyataan berasingan telah mengesahkan tentang dua laporan polis yang diterima terhadap pemimpin UMNO itu.

Di bawah Seksyen 233 AKMM, jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau 12 tahun penjara. – MalaysiaGazette