Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia hari ini mengesahkan pihaknya menyiasat Ketua Pemuda Pergerakan UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh berkaitan isu stoking kalimah Allah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah menerima dua laporan polis berkaitan ucapan dan tindakan pemimpin itu berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di kedai serbaneka 24 jam KK Mart.

“Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Siasatan telah dijalankan ke atas beliau (Dr Akmal) dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara setelah kesemua tindakan melengkapkan siasatan diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Razarudin menasihati orang ramai agar tidak membangkitkan isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah memandangkan mereka yang terlibat telah pun dituduh dan proses keadilan akan ditentukan oleh mahkamah.

Terdahulu menerusi satu kenyataan pagi ini, Dr Muhammad Akmal mendakwa dia telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabal, Sabah.

Menurutnya, beliau sepatutnya dijadualkan tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi esok untuk memberi keterangan kepada polis. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya telah ditahan di IPD Kota Kinabalu pagi ini – Dr. Akmal