Foto yang dikongsi oleh Dr. Akmal Saleh di media sosial

KUALA LUMPUR – Tindakan polis menahan dan melakukan siasatan tidak mematahkan semangat Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh untuk berjuang demi agama dan ummah.

Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu berkata, beliau rela apa juga ‘harga’ yang perlu dibayar demi mempertahankan agama dan bangsa.

“Apa pun kesusahan dan cabaran yang dihadapkan kepada saya, ia tidak sesekali mematahkan semangat untuk terus berjuang dan berkata tentang kebenaran demi agama dan ummah.

“Jika ini harga yang perlu saya bayar demi mempertahankan agama dan bangsa, saya rela dengan sepenuh hati. Kekal boikot. No fear, no surrender! ” katanya dalam kenyataan sejurus memberi keterangan kepada pihak polis, hari ini.

Sementara itu , Muhamad Akmal berkata, beliau tela hmemberi keterangan sebanyak dua kali di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.

Keterangan pertama mengambil masa dua jam bermula 10.40 pagi hingga 12.40 tengah hari dan dia kemudian dibenarkan untuk pulang.

Bagaimanapun beliau ditahan sekali lagi selepas memberi kenyataan kepada media.

“Penahanan saya dilanjutkan dan saya diminta untuk beri keterangan sekali lagi yang juga mengambil masa dua jam.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pegawai dan anggota polis IPD Kota Kinabalu dan seperti saya katakan saya akan beri kerjasama penuh,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pimpinan parti yang menghubungi dan membantu serta kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan dirinya.

Muhamad Akmal turut mengesahkan beliau ditahan untuk diambil keterangan dan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi Multimedia 1998. – MalaysiaGazette