Fared Khalid

JOHOR BAHRU – Rentetan tular penjualan kasut dengan tulisan kalimah Allah hari ini – Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) telah mengarahkan pemantauan dibuat di pusat beli belah di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pemantauan telah pun dijalankan pada petang tadi disertai oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bahagian Penguatkuasa, (JAIJ), Pihak Berkuasa Tempatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Johor.

“Dalam pemantauan tersebut sejumlah pasang kasut telah dirampas bagi tujuan siasatan lanjut.

“Rakyat Johor khususnya diminta bertenang dan membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan lebih lanjut berkenaan isu yang tular tersebut,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Fared berkata, kerajaan negeri kekal bertegas dari aspek pemantauan yang berterusan dan tidak akan berkompromi sekiranya ianya melibatkan persendaan dan penghinaan ke atas kalimah Allah dan kemuliaan agama Islam.

Sementara itu, PDRM pula memberitahu, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung logo kasut keluaran sebuah syarikat tempatan yang didakwa seakan-akan mirip kalimah Allah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima satu laporan polis dibuat seorang lelaki berusia 35 tahun di Pulau Pinang hari ini.

Dalam pada itu, Vern’s Holding Sdn Bhd memohon maaf berhubung isu lakaran logo di tapak kasut keluarannya dikatakan menyerupai kalimah Allah.

Menurut pihak pengurusan syarikat, logo tersebut diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi.- MalaysiaGazette