Dr Akmal (kiri) menyantuni pelanggan selepas Majlis Pelancaran Program Semarak Syawal MADANI Peringkat Negeri Melaka di Pasar Tani Merlimau, Jasin, Melaka hari ini.

JASIN – Kesediaan beberapa pemimpin politik luar UMNO  manawarkan khidmat guaman mewakili Ketua Pemudanya yang disiasat di bawah Akta Hasutan digambarkan menjadi titik permulaan penyatuan Islam dalam di negara ini.

Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau amat terharu dengan keprihatinan Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Abdul Karim dan Ketua Penerangan Srikandi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Nurul Syazwani Noh untuk membantunya.

Beliau disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kelantangannya dalam isu kalimah Allah pada stoking yang dijual di KK Mart.

“Saya rasa terharu dan bersyukur sangat apabila tidak kira perbezaan parti dan ramai yang bersama saya dalam hal ini, sekali gus menggambarkan titik tolak penyatuan orang Islam di Malaysia.

“Kita (Pemuda UMNO) juga ada barisan peguam yang akan dipanggil bersama-sama peguam yang mahu bersama kami,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Semarak Syawal Madani Peringkat Negeri Melaka di Pasar Tani Merlimau, di sini, hari ini.

Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Hassan dan Nurul Syazwani semalam untuk membantunya.

Semalam, Hassan sebagai seorang peguam dan Ahli Parlimen yang mahu melihat Akta Hasutan 1948 dimansuhkan di Malaysia menawarkan diri menjadi sebagai salah seorang peguambela dalam pasukan guaman Dr Akmal.

Nurul Syazwani yang juga seorang peguam turut dilaporkan berkata, Bersatu menyokong tindakan Exco Melaka itu dalam perjuangan dan pendirian mempertahankan kesucian Islam dan kalimah Allah walaupun berbeza fahaman politik.

Mengulas lanjut, Dr Akmal berkata, pihaknya kini sedang menunggu keputusan daripada pejabat Peguam Negara berhubung kes berkenaan.

“Jika kami perlu ke mahkamah, barisan peguam ini akan disiapkan dengan bantuan seluruh peguam yang sudi membantu saya,” katanya.

Kelmarin, Dr Akmal memberi keterangan kira-kira dua jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Sabah sebelum dibebaskan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, ADUN Merlimau itu disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Ketua Pemuda UMNO ini adalah pemimpin politik yang lantang berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart. – MalaysiaGazette