Sekitar Majlis Pecah Tanah Pembangunan Rumah Alumni UTeM ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Datuk Dr Husaini Omar.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah memulakan proses pembinaan Rumah Alumni UTeM dengan reka bentuk terkini berkonsep moden dan terbuka yang dianggarkan nilainya sebanyak RM5 juta.

Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, projek pembinaan rumah alumni yang berkeluasan 2,500 meter persegi yang akan bermula pada tahun ini berkonsepkan dewan yang boleh memuatkan seramai 1,000 orang dalam satu-satu masa.

Ia secara tidak langsung menepati keperluan universiti yang masih tiada ruang bagi penganjuran program yang mampu untuk memuatkan 1,000 orang peserta.

“Konsep pembinaan Rumah Alumni ini pula menggabungkan elemen moden dan open-concept dan ianya boleh dijadikan satu lokasi bagi tujuan penjanaan pendapatan juga melalui sewaan yang boleh dibuat kepada pihak luar.

“Ia dilengkapkan dengan beberapa ruang utama seperti dewan konvensyen (berkonsep rumah kaca), bilik mesyuarat, ruang seminar dan sebagainya yang boleh digunapakai bersama,” katanya sewaktu dalam ucapan dalam Majlis Pecah Tanah Pembangunan Rumah Alumni UTeM di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.

Tambah Massila, secara spesifiknya kini projek pembinaan Rumah Alumni ini telah pun berada dalam fasa permulaan yang sedang giat diuruskan oleh Pejabat Pengurusan Pembangunan UTeM.

Mengulas tentang pembiayaan pembinaan Rumah Alumni sebanyak RM5 juta, ia diperoleh menerusi sumbangan Alumni UTeM sebanyak RM2 juta manakala baki RM3 juta lagi adalah menerusi Tabung Endowment UTeM.

“Hal ini menzahirkan kemajuan dan kesepakatan antara kumpulan Alumni UTeM bersama dengan pihak UTeM sendiri yang sentiasa komited menerusi pembiayaan wakaf demi kepentingan bersama,” ujarnya lagi.

Projek Rumah Alumni UTeM merupakan sebahagian pengisian agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan Baik (SDG 3) dan Pekerjaan Baik dan Kemajuan Ekonomi (SDG 8) daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Majlis Pecah Tanah Pembangunan Rumah Alumni UTeM ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Datuk Dr Husaini Omar.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Ir Dr Ghazali Omar, Timbalan Naib Canselor Hal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif dan Pengarah Pusat Alumni, Kerjaya & Kebolehpasaran (U-ACE), Dr Hazli Rafis Abdul Rahim.

Menyentuh mengenai kemajuan Alumni UTeM, Dr Hazli Rafis berkata, sehingga kini jumlah Alumni UTeM adalah seramai 42,086 orang dan dengan jumlah ini, UTeM dapat merealisasikan pelbagai perkara dengan kerjasama daripada Alumni UTeM.

UTeM melalui U-ACE terus bergiat aktif mengumpulkan semula Alumni-Alumni UTeM melalui sesi perjumpaan dan pengwujudan Chapter Alumni di setiap zon seperti di Sabah, Sarawak, Zon Timur dan baru-baru ini di Zon tengah yang telah diadakan di Putrajaya. – MalaysiaGazette