Orang ramai mengambil kesempatan membeli barangan keperluan sebagai persiapan menjelang Aidilfitri yang dijangka esok, 10 APRIL 2024 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 09 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Umat Islam yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok masih lagi terus melakukan persiapan terakhir termasuklah membeli bahan mentah sebagai persiapan hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Sungai Besi hari ini mendapati antara bahan makanan yang mendapat permintaan tinggi ialah ayam dan daging untuk dijadikan menu raya.

Menurut peniaga ayam, Muhammad Sani Saad, 53, bekalan ayam kali ini mencukupi dengan permintaan daripada pelanggan sangat menggalakkan.

Peniaga, Muhammad Sani Saad

“Sebelum ini, seperti raya tahun lepas bekalan memang tidak cukup dengan harga turun naik. Tapi kali ini bagus sekali dengan permintaan juga tinggi. Mungkin hari ini pelanggan lebih sedikit kerana ramai sudah balik kampung halaman,” katanya hari ini.

Seorang lagi peniaga, Mohd Zamhor Mohd, 54, berkata, rata-rata pelanggannya gembira apabila dakwaan kononnya harga ayam atau daging akan naik sebenarnya tidak berlaku.

Peniaga, Mohd Zamhor Mohd. Foto SYADILA AMARI, 09 APRIL 2024.

“Semuanya berjalan dengan elok, masing-masing gembira walaupun memang ada peningkatan harga barangan namun bahan mentah masih lagi mampu untuk rata-rata pelanggan.

“Di pasar ini, tidak ada rasa tidak puas hati atau sebagainya,” ujarnya.

Bagi pengunjung Azlina Mohd Zain, 40, raya kali ini lebih ‘bajet’ dan berjimat cermat berbanding tahun sebelum ini.

Azlina Mohd Zain.

“Kenaikan harga barang memang berlaku tapi kalau kita boleh berjimat cermat dan sediakan senarai barangan memang kita boleh sambut Syawal dengan baik,” katanya.

Bagi Mohd Abdullah, 80, pula,  persiapan hari raya pada hari-hari terakhir dengan membeli barangan mentah sememangnya rutin sejak puluhan tahun.

Mohd Abdullah Pasar Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 09 APRIL 2024.

Jelas beliau, jika hendak dibandingkan yang dulu dan kini banyak yang telah berubah namun tidak begitu keterlaluan.

“Kita masih lagi boleh sambut Aidilfitri dengan baik, bekalan makanan juga tidak kurang dan harga memang ada turun baik tapi semuanya tidak mendadak. Tidak ada masalah bagi saya,” katanya.

Untuk Melisa Abd Hamid, 50, sebahagian besar pasar raya di seluruh negara menyediakan bekalan bahan mentah seperti ayam dan daging dengan harga yang amat murah menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Melisa Abd Hamid.

“Kali ini sahaja kita akan makan ayam, daging saya tidak beli. Kita hendak berjimat cermat, harga barang naik jadi kita beli ikut keperluan,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast