Kedai jualan pakaian musnah sepenuhnya dalam insiden kebakaran di ibu negara hari ini. Ihsan Bomba KL

KUALA LUMPUR – Sebuah kedai jualan pakaian musnah sepenuhnya dalam satu insiden kebakaran di Jalan Kenanga di sini hari ini.

Komander Operasi Penolong Kanan Penguasa Bomba, L. Prakash berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur telah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam tentang insiden kebakaran premis pakaian itu sekitar 10.54 pagi tadi.

Bertindak atas panggilan kecemasan itu, seramai 24 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, BBP Pudu, BBP Sentul dan BBP Sri Hartamas telah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah kedai pakaian yang berada di tingkat dua bangunan.

“Pasukan bomba telah bertindak tangkas serta pantas sebelum berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran itu daripada merebak ke unit premis lain yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Prakash, siasatan lanjut pihaknya mendapati kebakaran membabitkan kemusnahan 100 peratus harta benda  namun insiden terbabit tidak melibatkan mangsa atau kehilangan nyawa.

“Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur telah memulakan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast