Suspek Israel Shalom akan didakwa di Mahkamah KL pada 12 April atas kesalahan memiliki senjata api

KUALA LUMPUR – Seorang warga Israel yang ditahan polis pada 27 Mac lalu  kerana memiliki enam pistol dan 200 peluru akan didakwa di mahkamah pada Jumaat ini.

Suspek Shalom Avitan, 38, yang juga memegang kewarganegraan Perancis itu akan dihadapkan dan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada 12 April ini.

Suspek akan dituduh di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati  atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam sidang media mengesahkan lelaki warga Israel itu berkemungkinan akan didakwa dalam minggu ini juga.

Pada Isnin, sepasang suami isteri telah didakwa di Mahkamah Klang atas kesalahan memiliki senjata api dan membekalkannya kepada lelaki warga Israel.

Tertuduh, Sharifah Faraha Syed Husin yang berumur 41 tahun  didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (FIPAA) kerana didakwa memiliki pistol itu.

Sementara itu, suaminya, Abdul Azim Mohd Yasin, 43, didakwa mengikut Seksyen 9 akta sama kerana bersubahat dengan Faraha apabila dia didakwa mengetahui pistol itu dalam pemilikannya.

Mengikut undang-undang itu, Abdul Azim dan Faraha berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat jika didapati bersalah.

Mereka juga tidak ditawarkan jaminan kerana kesalahan yang ditetapkan di bawah FIPA tidak boleh dijamin.

Hakim Sesyen, Sharifah Hascindie Syed Omar menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Rentetan tangkapan suspek bersama senjata pada 27 Mac lalu, polis berjaya memberkas sepasang suami isteri tempatan berusia 42 dan 40 tahun disyaki membekalkan senjata api kepada suspek Israel itu.

Pasangan itu ditahan polis di sebuah Bazaar Ramadan di Kuala Selangor sebelum berjaya merampas sepucuk pistol di dalam kenderaan mereka jenis Honda Jazz di rumah mereka.

Hasil siasatan lanjut mendapati pasangan itu dipercayai membeli kesemua enam pistol dan peluru itu di negara jiran Thailand menggunakan mata wang kripto.

Setiap senjata itu dibeli dengan harga lebih RM10,000 sepucuk sebelum mengedarkannya kepada suspek Isrel itu di dalam negara ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast