HULU LANGAT – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan bau sehingga 2 ton dipercayai kesan minyak diesel ditemukan di muka sauk loji rawatan air (LRA) Cheras Batu 11, di sini, kira-kira jam 9.30 malam semalam.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, hasil siasatan mengesyaki ia berpunca dari kawasan perindustrian berdekatan berdasarkan pengesanan bau di pembetung sebelum memasuki Sungai Langat.
“LUAS telah dengan segera melaksanakan tindakan pencegahan dengan meletakkan keseluruhan 12 unit oil pad dan 2 beg (50 kg) activated carbon (AC) di dalam pembetung.
“Ia bagi menyah bau, memerangkap dan menghalang aliran kesan minyak daripada mengalir ke Sungai Langat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau juga berkata, LUAS telah melaksanakan pemantauan intensif bau dan kesan minyak di Sungai Langat dengan kekerapan setiap 30 minit dengan jarak di antara lokasi tersebut ke LRA Cheras Batu 11 sekitar 400 meter.
“Siasatan LUAS di hulu sungai tidak menemukan sebarang punca yang disyaki berpotensi menyebabkan pelepasan kesan minyak berkenaan,” katanya.
Selain itu, katanya, pemerhatian lanjut LUAS di lokasi menemukan tapak bekas cucian diesel di hadapan premis kosong di kawasan perindustrian tersebut.
“Ia disyaki terdapat aktiviti pencucian kenderaan dan pelepasan bahan diesel ke dalam pembetung,” katanaya.
Katanya lagi, LUAS telah melantik kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penyedutan sisa minyak di kawasan terlibat yang mana selesai sepenuhnya pada jam 9.40 malam semalam.
“Verifikasi LUAS di lokasi terlibat mengesahkan bacaan bau 0 ton, dan tiada lagi kesan minyak ditemui.
“Tindakan mitigasi segera LUAS ini berjaya memastikan tiada gangguan bekalan air kepada pengguna,” katanya.
Sehubungan itu katanya lagi, Kerajaan Negeri Selangor dan LUAS menyeru gar semua pihak prihatin terhadap aktiviti dan tindakan tidak bertanggungjawab yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air negeri terutamanya pada musim perayaan.
“Pastikan sebarang aktiviti pembersihan dan penyelenggaraan premis, jentera dan kenderaan berat untuk cuti perayaan dilaksanakan dengan kawalan tanpa sebarang risiko aliran tercemar masuk ke dalam mana-mana saliran.
“Sekiranya berlaku ia berpotensi menyebabkan henti tugas loji dan gangguan bekalan air. Laporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada LUAS untuk diambil tindakan segera.
“Kerajaan Negeri Selangor dan LUAS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencemarkan sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukan Enakmen LUAS 1999,” katanya lagi. – MalaysiaGazette