Aslina meunjukkan gambar Muhammad Amin yang maut ditempat kejadian akibat parah di kepala selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kereta yang memasuki laluannya di Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai, pagi semalam.

MELAKA – “Sekarang ini nak sambut raya pun rasa trauma sangat sebab semuanya akan hilang (anak meninggal dunia)…jadi biarlah tak perlu lagi raya lepas ini,” kata Aslina Abu, 48.

Itu luahan sebak suri rumah itu selepas kehilangan dua anak lelakinya masing-masing pada usia 19 tahun akibat terlibat dalam nahas jalan raya pada malam menjelang Syawal pada 30 April 2022 dan terbaharu awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.04 pagi semalam, Muhammad Amin Fakhrullah Mohd Faiez, 19, maut ditempat kejadian akibat parah di kepala selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kereta yang memasuki laluannya di Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai.

Dua tahun lalu pada 30 April 2022, anak kelima wanita itu, Muhammad Nasululllah, 19, maut pada malam sehari sebelum Aidilfitri selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kereta yang membuat pusingan U di garisan berkembar di Pantai Puteri.

“Kedua-duanya meninggal dunia pada malam Aidilfitri di usia 19 tahun seolah-olah mereka sudah berjanji untuk sehidup semati sampaikan saya rasa trauma setiap kali Syawal menjelma.

“Orang boleh cakap sabar, tapi Allah sahaja yang tahu betapa hibanya hati ibu yang merasai ujian ini,” katanya hiba ketika ditemui di rumahnya di Batu 10, Pantai Kundur, Tanjung Kling di sini malam tadi.

Muhammad Amin Fakhrullah Mohd Faiez

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Aslina dilihat gagal mengawal emosi sebaik membuka kain yang menutupi mayat anak ketujuh daripada 11 beradik berusia 12 hingga 26 tahun itu sudah tidak lagi bernyawa.

Menerusi video berdurasi 19 saat yang tular, wanita itu meraung meluahkan perasaan sudah dua kali berlaku tragedi malam raya yang meragut nyawa dua anak lelakinya sehingga mengundang sebak orang ramai.

Menceritakan semula kejadian malam semalam, suri rumah itu berkata dia mendapat tahu Amin terlibat nahas selepas diberitahu seorang lagi anaknya.

“Waktu diberitahu keadaan Amin teruk, rasa macam tak adil sangat dan teringat pada arwah Nasululllah dua tahun lepas sambil merayu kenapalah Allah ambil lagi nyawa anak pada malam Hari Raya Aidilfitri.

“Masa itu saya mohon Allah janganlah ambil nyawanya dan kalau patah riuk pun saya masih boleh jaga. Tapi luluhnya hati bila sampai di lokasi melihat arwah dah terlentang sambil dilitupi kain,” katanya menitiskan air mata.

Tambahnya, dia berharap tragedi yang menimpa anaknya itu mendapat pembelaan sewajarnya daripada pihak berkuasa kerana nahas yang bukan berpunca dari kesalahannya.

“Bukannya tidak reda dengan ketentuan Allah tapi saya mahukan pembelaan terhadap kematian kedua-dua anak apakah tindakan yang dikenakan terhadap pemandu kereta berkenaan.

“Saya tidak berdendam, tapi tolonglah berlaku adil terhadap nasib yang menimpa anak-anak saya ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Dah berapa ramai org yg tak bersalah maut disebabkan pemandu yg bangang! Kenapa tak ada tindakan tegas dari kerajaan? Kenapa musibat2 ni tidak dipenjarakan 10 tahun? Apa kerajaan buat utk lindungi nyawa rakyat?? Menteri Pengangkutan makan gaji buta!!!

Comments are closed.