KUALA LUMPUR – Nasib kita tidak semua sama di atas muka bumi ini. Ada kaya ada miskin.
Ada yang beruntung lahir demgan keluarga sempurna namun ada juga sebaliknya.
Bagaimanapun perbezaan antara kita tidak boleh menjadi batu penghalang untuk saling bantu-membantu antara satu sama lain.
Demikian pendirian sukarelawan yang juga aktivis Pertubuhan Jejak Jalanan, Mohd Azhan Mohd Adnan, 56, atau lebih dikenali sebagai Abe Hae yang berasal dari Kelantan.
Lelaki itu memilih untuk membantu anak-anak fakir miskin di sekitar Jalan Chow Kit dan Lorong Haji Taib di sini sejak beberapa tahun yang lalu.
Simpatinya terhadap anak-anak di sekitar kawasan berkenaan yang membesar tidak seperti orang lain menjadikannya sentiasa meluangkan masa bersama-sama kanak-kanak di situ.
“Permulaan tahun 2002 masa itu saya cuma buat infak setiap Jumaat di masjid nak cari saham akhirat selepas itu saya rasa tidak sesuai masjid saya beritahu isteri kita cari gelandangan di KL dan fakir miskin.
“Selama tiga minggu bagi makan selepas itu baru saya jumpa tempat ini. Iaitu golongan fakir miskin.
“Tiga bulan berlalu, saya rasa nak cari tahu berkenaan dengan fakir miskin di sini, status mereka gelandangan atau fakir miskin kota raya. Dalam tempoh tiga bulan saya di sini apa yang saya masak saya makan dan bagi mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Setelah meluangkan masa beberapa bulan bersama-sama ibu bapa yang berada dalam golongan fakir miskin di situ barulah beliau faham betapa anak-anak mereka memerlukan pendidikan dan asuhan yang baik.
Semenjak itu, Abe Hae akan sentiasa berada di kawasan tersebut bukan hanya untuk memberi makanan dan bantuan tetapi menganjurkan program yang berbentuk pengisian rohani yang membentuk anak-anak seperti solat berjemaah dan pendidikan agama.
“Dari situ saya duduk dalam kasut mereka dan dari situ saya tahu mereka fakir miskin. Dalam tempoh itu saya nak membantu nak bawa suara mereka ke pusat zakat dari situ saya buka Pertubuhan Jejak Jalanan. Saya rasa sinonim sangat nama itu.
“Daripada situ saya bawa suara-suara fakir miskin ke pusat zakat alhamdulillah banyak yang di antu oleh Majlis Agama Islam WP dan pusat zakat,” katanya lagi.
Baginya, nasib kanak-kanak di sana perlu diubah meskipun lahir dalam keadaan nasib tidak sama seperti orang biasa.
Kanak-kanak di situ, katanya, perlu sedar betapa penting kesedaran tentang pendidikan agama dan pendidikan di sekolah demi pembentukan sasiah.
Sejak itu beliau menjadi sosok ‘ayah’ kepada kanak-kanak di lorong-lorong di ibu kota.
“Saya masih tidak puas hati saya nak tengok tempat tinggal mereka pula, mereka kebanyakannya tinggal di bilik-bilik di Lorong Haji Taib, bilik yang sangat usang saya menitiskan air mata tidak layak kita berada di tempat kita mereka begitu.
“Saya korbankan kewangan, cantikkan bilik mereka ada kipas, ada tilam, ada katil, petik sejuk dan bolehlah selesa diduduki. Saya tetap tidak puas hati saya ambil inisiatif saya nak keluarkan mereka daripada dunia fakir miskin.
“Saya tidak boleh bentuk ibu bapa ada juga yang tidak ada bapa atau ibu. Kalau ada ibu bapa tidak boleh main peranan didik anak-anak mereka jadi insan berjaya jadi saya perlu ambil tugas itu bukan mudah,” tambahnya.
Abe Hae bukan hanya mengorbankan bantuan kewangan untuk kanak-kanak dan ibu bapa di kawasan tersebut beliau turut memberikan kasih sayang yang tidak dapat dirasai oleh mereka sebelum ini.
“Kalau di rumah anak yatim contohnya senang ini berterabur dengan latar belakang yang pelbagai. Jadi saya tetapkan pendirian nak didik anak-anak di sini, bagi kasih sayang. Alhamdulillah mereka dengar cakap sekarang kalau dulu ada yang ganas.
“Sekarang berubah 360 darjah kerana kasih sayang yang saya curahkan sebagai bapa,” katanya lagi.
Kini setelah tiga tahun berlalu nama Abe Hae kini tidak asing lagi di Chow Kit.
Setiap kali menjelangnya bulan Ramadan, beliau akan mengadakan solat jemaah tarawih di kawasan lapang berdekatan Lorong Haji Taib yang juga turut dihadiri anak-anak tahfiz sekitarnya bagi memeriahkan suasana.
Katanya, dengan cara itu dapat mengajak ibu bapa sama-sama beribadah sekaligus meluangkan masa dengan anak-anak.
“Hari ini setelah hampir masuk tahun ketiga saya buat rumah ilmu untuk mereka belajar lima mata pelajaran penting dan berkenaan agama Islam supaya mereka tidak tinggal solat. Saya buat solat jemaah tarawih di sini nak bawa ke sini pun susah apatah lagi bawa ke masjid.
“Alhamdulillah, ada ibu bapa yang melekat (berubah) jadi solat. Ada juga anak-anak yang sudah biasa dengan solat di sini. Saya mahu mereka rindu solat kalau tidak bahaya.
“Saya sentiasa beri galakan kanak-kanak ini galakan berjaya dalam kehidupan setiap tahun saya bawa bercuti ada ke Port Dickson, Melaka, Hulu Langat,” ujarnya.
Menyedari apa yang dilakukannya sukar diteruskan oleh pihak lain namun beliau akui kesan positifnya.
Misinya hanyalah satu, mahu melihat anak-anak fakir miskin di situ berjaya keluar daripada kepompong mereka.- MalaysiaGazette