Kemalangan sedikit menurun pada hari ketiga op selamat 22 seluruh negara manakala angka kematian meningkat semalam. Info PDRM

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,289 kes kemalangan jalan raya telah direkodkan pada hari ketiga penguatkuasaan Op Selamat Ke-22 oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 di seluruh negara.

Menurut infografik rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman dalam laman sesawang Facebook rasminya menunjukkan berlaku peningkatan daripada segi kes kematian berbanding hari pertama dan hari kedua Op Selamat yang bermula sejak 8 April lalu.

Angka kematian pada hari ketiga Op Selamat iaitu 10 April lalu menunjukkan sebanyak 35 kes mati direkodkan di atas jalan raya seluruh negara.

Untuk hari pertama Op Selamat pada 8 April lalu, sejumlah 14 kematian direkodkan seluruh negara.

Kemudian angkat kematian itu meningkat pada hari kedua Op Selamat iaitu sebanyak 18 kematian.

Bagaimanapun, pada hari ketiga Op Selamat iaitu semalam, kes kematian menunjukkan kenaikan iaitu 35 kes kematian direkodkan.

Dalam aspek kemalangan pula pada hari pertama Op Selamat Ke-22 pada 8 April lalu, jumlah kes kemalangan yang direkodkan adalah sebanyak1,683 kes dan angka itu menurun kepada 1,631 Selasa lalu.

Manakala pada hari ketiga Op Selamat iaitu Rabu angka kemalangan menunjukkan penurunan lagi iaitu 1,289 kes kemalangan di seluruh negara.

Orang ramai khusus pemandu diminta lebih berhati-hati dan bertanggungjawab sepenuhnya atas keselamatan diri dan pengguna lain di jalan raya.

Pengguna dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan pemanduan penuh kesabaran, fokus dan berhemah demi mengelak sebarang insiden atau kemalangan yang boleh mengundang kecederaan termasuk pengguna lain atas jalan pada musim perayaan kali ini.

JSPT juga menasihatkan mana-mana pemandu yang berdepan provokasi atau pembulian di atas jalan raya agar sentiasa bersabar dan mengadu segera kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Polis juga meminta pemandu berdepan situasi provokasi dan pembulian atas jalan agar kekal tenang, menjarakkan kenderaan dan mengelak bertemu mata dan mengabaikan provokasi dan segera membuat laporan menggunakan aplikasi MyJPJ bila keadaan kembali tenang dan selamat di atas jalan raya.

Pada 7 April lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain telah memaklumkan bahawa PDRM akan melaksanakan penguatkuasaan Op Selamat ke-22 dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’ bermula 8 hingga 13 April di seluruh negara.

Katanya, enam kesalahan utama antaranya pengunaan telefon bimbit semasa memandu, memotong barisan, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, tidak berhenti di lampu merah antara yang akan diberi fokus utama semasa OP Selamat pada kali ini tanpa sebarang kompromi ke atas pengguna jalan raya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast