Tangkap layar video tular memaparkan empat lelaki memukul seorang individu.

TELUK INTAN – Polis mengesahkan insiden pukul-memukul oleh sekumpulan lelaki ekoran kemalangan jalan raya membabitkan tiga lelaki warga Pakistan maut di kilometer (km) 16 Jalan Teluk Intan – Bidor, dekat sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian yang turut dirakam menerusi video tular melibatkan pemandu kereta dan empat lelaki dipercayai rakan senegara mangsa.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian pukul berkenaan berlaku sebaik sahaja selepas nahas itu berlaku namun reda sebaik kehadiran polis di lokasi.

“Pemandu kereta terbabit telah membuat laporan polis akan kejadian itu sekitar jam 1 tengah hari tadi (Khamis).

“Walau bagaimanapun tiada kecederaan serius (dikesan pada pemandu sebaliknya), hanya luka pada bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Ahmad Adnan memberitahu, empat individu yang terlibat dalam kejadian pukul itu merupakan rakan mangsa yang terselamat daripada kemalangan tersebut.

Justeru, beliau memaklumkan polis telah mengenal pasti kesemua mereka yang terlibat dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Pada perkembangan sama, Ahmad Adnan berkata, pemandu kereta yang terbabit dalam nahas itu telah direman selama empat hari sehingga Ahad ini.

“Siasatan terhadap lelaki itu dibuat di bawah Seksyen 44(1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujar beliau.

Tular di media sosial aplikasi X, video berdurasi 19 saat memaparkan sekumpulan lelaki dalam keadaan berang bertindak membelasah seorang lelaki dalam parit.

Terdahulu media melaporkan hasrat tiga lelaki warga Pakistan hendak menunaikan solat sunat Aidilfitri bertukar tragedi apabila mereka dirempuh sebuah kereta Proton Saga di bahu jalan.

Pada kejadian sekitar jam 8 pagi, dua mangsa maut di lokasi kejadian sementara seorang lagi meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan Hospital Teluk Intan.

Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap pemandu kereta berusia 36 tahun itu didapati positif dadah jenis THC atau ganja. -MG Perak