KUALA LUMPUR – Reman lima daripada tujuh suspek yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam samun terhadap seorang warga asing sehingga mengakibatkan kerugian seutas jam tangan dan wang tunai RM260,000 telah dilanjutkan hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan perkara itu kepada MalaysiaGazette berkata, reman mereka disambung sehari lagi sehingga 12 April 2024.
Daripada tujuh orang yang ditahan itu, lima daripadanya merupakan anggota polis manakala dua lagi orang awam yang mana salah seorangnya merupakan bekas anggota pasukan keselamatan tersebut.
“Sebelum ini kesemua mereka direman bermula 8 dan 9 April lalu sehingga 11 dan 12 April ini.
“Bagaimanapun, polis hari ini mengemukakan perintah sambung reman terhadap lima suspek yang tamat reman hari ini (Khamis),” katanya hari ini.
Menurutnya, kertas siasatan kes berkenaan akan dilengkapkan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada minggu hadapan.
Dalam pada itu tambah beliau, dua lagi suspek iaitu seorang lagi anggota polis dan orang awam pula masih dalam tahanan dan reman mereka akan berakhir esok.
Sementara itu, empat anggota polis dan seorang suspek awam yang disambung reman sehari lagi telah diwakili oleh peguambela Navin Punj daripada firma guaman Navin Punj &Co semasa proses perintah sambung reman berlangsung pagi tadi di IPD Brickfields.
Dalam kenyataan 9 April lalu, Rusdi mengesahkan tangkapan lima anggota polis, seorang bekas anggota dan seorang suspek awam dalam dua serbuan pada 7 dan 8 April lalu selepas disyaki terlibat dalam jenayah samun itu.
Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan samun bersenjata secara berkumpulan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.
Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam yang boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.- MalaysiaGazette