KUANTAN – Seramai 303 keluarga penghuni Pejara Penor  di sini memanfaatkan Perjumpaan Khas Sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 pada hari raya ketiga dan keempat.

Penguasa Penjara, Mohd Ranie Zakaria berkata, kesemua keluarga membuat tempahan awal dengan menghubungi pihak penjara bagi memaklumkan kehadiran mereka untuk menziarahi waris masing-masing.

Menurutnya, sebanyak 242 hadir mengikut waktu lawatan secara walk-in manakalan 61 keluarga membuat tempahan lebih awal.

“Sesi terakhir mengambil nombor giliran pada pukul 1 tengah hari dan lawatan diteruskan sehingga jam 4 petang.

“Keluarga mengambil peluang membekalkan hamper makanan dan kuih raya kepada penghuni mengikut pakej harga yang ditetapkan bermula RM30 hingga RM150,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sepanjang dua hari pelaksanaannya, kehadiran keluarga penghuni mengeratkan hubungan silaturahim  antara prospek dan ahli.

Pihak penjara sangat mengalu-alukan program sedemikian kerana semangat yang diberikan oleh ahli keluarga mampu membantu proses kendiri semasa banduan meneruskan hukuman di dalam penjara.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata keluarga dari jauh yang tinggal di luar dari daerah ini mengambil keputusan untuk bertolak awal bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas pada musim hari perayaan.

Mereka tiba seawal  7.30 pagi memdapatkan nombor giliran dan sesi perjumpaan dibenarkan bagi 3 dan 4 Syawal bermula 8 hingga 4 petang.

Kemudian keluarga penghuni menunggu giliran sebelum bersua mata di bilik khas sebelum berbual menerusi panggilan telefon.

Untuk rekod lebih 1,800 banduan ditempatkan di Penjara Penor atas pelbagai kesalahan sedang menjalani hukuman.

Manakala seramai 107 orang banduan telah terlibat Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) menerusi Pelepasan Ehsan Madani pada tahun ini. – MalaysiaGazette

VIDEO BERKAITAN: