Mohd Asna Amin

MELAKA – Umat di negara ini tidak boleh lagi menerima alasan tidak sengaja terhadap tindakan yang jelas mempersendakan kesucian agama Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, isu KK Mart menjual stoking tertera kalimah Allah yang mendapat liputan meluas negara sepatutnya  memberi pengajaran kepada semua peniaga.

“Alasan tidak sengaja, atau terlepas pandang tidak lagi boleh diterima dan hukuman berat harus di ambil supaya menjadi pengajaran di masa akan datang.

“Umat Islam tidak lagi boleh terima alasan ‘tidak sengaja’ kerana menjual barangan yang menghina kesucian umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas satu lagi tindakan menghina Islam apabila sebuah pasar raya terkenal di Batu Pahat, Johor yang didapati menjual alas kaki tertera gambar Kaabah.

Terdahulu hari ini, media melaporkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) tidak berdiam diri dengan isu penjualan alas kaki memaparkan gambar Kaabah di sebuah pasar raya terkenal di Batu Pahat seperti tular di media sosial sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, tindakan mengenai perkara itu sudah diambil JAINJ sejurus menerima aduan awam, termasuk merampas 11 alas kaki itu Selasa lepas. – MalaysiaGazette