Gambar hiasan

SUNGAI BULOH – Seorang lelaki yang mengamuk selepas bertengkar dengan adik perempuannya disebabkan ketagihan dadah semasa berkumpul menyambut Aidilfitri di rumah ibunya, di Merbau Sempak, di sini pada Jumaat lalu telah ditahan.

Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh dalam kenyataannya berkata, anggota kereta peronda polis yang menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada orang awam sekitar jam 2.30 pagi telah bergegas ke lokasi untuk tindakan lanjut.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, anggota polis telah berjaya melakukan tangkapan ke atas suspek yang berusia 38 tahun.

Pemeriksaan lanjut ke atas suspek mendapati lelaki yang bekerja sebagai penjual apam balik itu memiliki sebanyak 12 rekod jenayah lampau bersabit kes dadah.

Malah, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek juga mengesahkan suspek positif dadah.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor mengesahkan tangkapan suspek itu selepas dihubungi tengah hari tadi.

“Siasatan polis mendapati punca suspek mengamuk kerana disyaki tiada bekalan dadah. Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden pertengkaran itu.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga Isnin depan untuk membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.