ACP Azman Shari'at berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah KLIA di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 15 APRIL 2024.

SEPANG – Asisten Komisioner Azman Shari’at dilantik sebagai Ketua Polis Daerah (OCPD) KLIA yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Imran Abd Rahman yang dinaikkan pangkat sebagai Senior Asisten Komisioner bagi menjawat Ketua Penolong Pengarah Operasi Darat Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) di Bukit Aman.

Azman, 56, berasal dari Pontian, Johor mula menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 26 Mei 1991 sebagai Inspektor Percubaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan semasa berucap menyempurnakan majlis serah tugas melahirkan harapan tinggi kepada warga kerja Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA untuk memberikan komitmen dan sokongan yang kukuh kepada Azman.

“Kita adalah satu pasukan dan dengan semangat kebersamaan, untuk galas tanggungjawab bersama ingatlah pepatah ini ‘berat sama dipikul ringan sama dijinjing’.

“Kita jadikan kata-kata ini sebagai asas dalam setiap tindakan, untuk memastikan agenda pasukan sentiasa diutamakan,” katanya dalam ucapan di Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah KLIA di IPD KLIA di sini pada Isnin.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Datuk Baharudin Mat Taib ke majlis tersebut.

Hussein berkata, Azman pernah memegang jawatan Ketua JSPT Selangor dan telah melaksanakan tugas diamanahkan dengan baik dan komited.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Imran yang telah menjadi Ketua Polis Daerah KLIA pada 4 Ogos 2020. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast