KOTA BHARU – Baru beberapa hari dibebaskan dari penjara, seorang bekas banduan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap adik kandungnya.
Lelaki itu yang berusia 34 tahun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan pertama tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu menyebabkan adik perempuannya berusia 17 tahun memerhati dan mendengar visual aktiviti yang bersifat seksual di sebuah rumah di sini pada 10 malam 6 April lepas.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (e) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan amang seksual ke atas mangsa sama di lokasi serupa kira-kira 11 pagi pada 8 April lepas
Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh memandangkan kes itu melibatkan hubungan abang dan adik kandung.
“Tertuduh baru sahaja dibebaskan seminggu sebelum Syawal dari penjara atas kesalahan dadah,” katanya.
Lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu supaya mahkamah membenarkan jaminan terhadapnya.