Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Boycott Divestment Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) berkata, pemegang francais McDonald’s tempatan iatu Gerbang Alaf belum menarik sepenuhnya saman seperti yang diumumkan pada 22 Mac lalu.

Menerusi kenyataan hari ini, BDS mendakwa pengumuman Gerbang Alaf sebelum ini menerusi satu kenyataan media bukan saja tidak tepat malah mengelirukan.

Katanya, kenyataan Gerbang Alaf juga tidak menggambarkan sifat sebenar penarikan saman seperti mana yang diumumkan.

“BDS Malaysia terdorong untuk menjelaskan perkara sebenar. Kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Gerbang Alaf mengenai penarikan balik saman itu, bukan sahaja tidak tepat malah mengelirukan.

“Ia tidak menggambarkan sifat sebenar penarikan saman dan pendirian BDS Malaysia mengenai perkara itu,” katanya.

BDS Malaysia berkata, setakat ini tiada sebarang persetujuan dicapai semasa proses mediasi pertama berikutan kenggangan Gerbang Alaf memenuhi tuntutan BDS supaya mereka mengutuk jenyah pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

“Bagaimanapun, kami tidak terkejut dengan keputusan mereka menarik balik saman tersebut kerana kes mereka yang lemah. Kami yakin akan menang kes tersebut sekiranya dibicarakan.

Menurut BDS Malaysia, perkara ini akan dibawa untuk penyelesaian pada 18 April di hadapan hakim yang dilantik oleh mahkamah.

Artikel berkaitan:

Pada 22 Mac lalu, Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar berkata, tindakan menarik balik saman itu diambil selepas hasil positif proses mediasi serta penjelasan yang dibuat oleh BDS Malaysia.

“Hasil pengantaraan dan penjelasan positif yang dibuat oleh BDS dalam kenyataan mereka baru-baru ini, yang mengakui bahawa tindakan pengendali McDonald’s di Israel adalah bebas sepenuhnya daripada McDonald’s Malaysia, kami akan menarik balik saman undang-undang itu,” kata Azmir dalam kenyataan.

Katanya, sebagai perniagaan yang dimiliki sepenuhnya penganut Islam, McDonald’s Malaysia komited terhadap ketelusan, amalan perniagaan beretika dan tanggungjawab sosial terhadap rakyat negara ini.

Beliau menegaskan, pendirian McDonald’s Malaysia adalah teguh bahawa pihaknya tidak menyokong dan terlibat dalam sebarang konflik atau peperangan. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast