Foto: fb Zairul Annuar

IPOH – “Mereka boleh pilih untuk tidur, tetapi lebih sanggup pilih bersusah-payah bantu lancarkan perjalanan kami malam itu,” itu luahan Zairul Annuar Mohd Zain, 47, yang videonya menggunakan ‘jalan tikus’ di Ladang Bikam ketika menuju ke Kuala Lumpur untuk pulang ke Nilai, Negeri Sembilan pada Syawal ke-4, viral di media sosial sejak semalam.

Zairul Annuar ketika dihubungi Bernama mengakui tidak menyangka video tersebut viral dan dikongsi pengguna media sosial lain, serta portal berita tempatan.

Beliau berkata, dia agak kesal kerana tidak merakam keseluruhan kejadian bermula daripada dia bertemu dengan sekumpulan lelaki berbangsa Cina dan cuma sempat merakam sebahagian sahaja kejadian.

Menceritakan detik kejadian malam itu, Zairul Annuar berkata, dia dan isteri serta anak yang berusia 17 tahun, sedang dalam perjalanan pulang ke Nilai, Negeri Sembilan setelah beberapa hari berhari raya di rumah seorang saudara di Ipoh sejak 2 Syawal.

“Oleh kerana aplikasi google maps memberikan notifikasi jalan ‘merah’ (sesak), maka saya memilih untuk mengikut cadangan dari aplikasi itu untuk ikut jalan dalam dari Gopeng ke Ladang Bikam itu, ada beberapa kereta yang juga ikut jalan sama di depan dan belakang kami, maknanya jalan tu betul.

“Masa tu dah jam 10 malam juga, tiba-tiba ada kenderaan dari arah bertentangan, berhenti suruh kami patah balik sebab kereta tidak akan lepas sebab jalan teruk dan berbukit, kecewa juga sebab kena juga patah balik menghadap kesesakan lalu lintas,” katanya sebelum ditegur sekumpulan 10 sehingga 15 orang lelaki berbangsa Cina, yang melarang mereka berpatah balik.

Zairul Annuar berkata, kumpulan lelaki tersebut, kemudiannya menyuruh mereka menunggu sebentar sebelum datang dengan sebuah jentera dan mengorek serta meratakan jalan yang agak berbukit tadi, sehingga rata dan boleh dilalui kenderaan yang sedang menunggu.

“Dalam 10 sehingga 15 minit sahaja, mereka kata jalan clear, kalau tidak hanya kenderaan pacuan empat roda sahaja boleh lalu. Saya, isteri dan anak tunggu dalam kereta tadi bergerak semula melalui jalan tikus itu, dalam beberapa kilometer kami berjaya tembus jalan besar semula sebelum meneruskan perjalanan ke Nilai,” katanya yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan.

Zairul Annuar yang telah dua tahun menetap di Indonesia pulang berhari raya ke Malaysia sejak 1 Syawal lalu berkata, dia berkongsi kisah tersebut di Facebooknya kerana ingin mengucapkan terima kasih kepada kumpulan lelaki itu.

“Saya nak orang lain rasa apa yang saya rasa, Malaysia ada rakyat yang baik hati walaupun berbilang kaum, perpaduan kita masih utuh, dari lubuk hati saya, jika ada peluang saya nak jumpa semula dengan kumpulan lelaki yang membantu itu, dan ucap terima kasih lagi, kerana hari itu (kejadian) saya tak sempat bercakap lama dengan mereka,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi satu minit 10 saat dikongsi oleh Zairul Annuar di laman Facebooknya sejak semalam mencuri perhatian rakyat Malaysia dikongsi sebanyak 4,800 kali dan mendapat lebih 8,000 tanda suka serta ditonton lebih 420,000 netizen.

Ia memaparkan perjalanan Zairul Annuar bersama keluarganya melalui jalan tikus dari Gopeng ke Ladang Bikam, Perak namun dibantu oleh sekumpulan penduduk berbangsa Cina yang sanggup bergotong-royong membantunya dan pengguna lain yang mahu pulang berhari raya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast