Special Branch defamation suit pontianak false claims

KUALA PILAH – Seorang pengarah syarikat didenda RM15,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyimpan 988 kilogram (kg) gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di premis yang tidak dilesenkan.

Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Hakim Ariffin, 30, dan mengarahkan tertuduh dikenakan enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Hakim selaku pengarah syarikat Premix Global Resources didapati menyimpan barang kawalan yang merupakan barang berjadual iaitu LPG jenama Gasul berkapasiti 12 kg sebanyak 17 tong dan Petron Gasul berkapasiti 14 kg berjumlah 56 tong, yang disimpan dalam premis selain yang dinyatakan dalam lesen.

Perbuatan itu dilakukan pada 11.15 pagi di sebuah premis di Bukit Temensu, Jalan Tampin di sini, pada 6 Julai 2023 dan kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, LPG yang disita dijual dan hasil jualan dijadikan Hasil Sementara Kerajaan menerusi sebut harga bernilai RM4,396.46.

Semakan dengan pihak Majlis Daerah Kuala Pilah mengesahkan bahawa tempat kejadian yang disita mempunyai lesen perniagaan bagi pusat jualan makanan ternakan serta pembekal bahan pertanian dan bukannya aktiviti menjual LPG.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan Khairul Azman Rosli manakala tertuduh diwakili peguam G Dineshan. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast