Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan hadir pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah KLIA di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 15 APRIL 2024.

SEPANG – Lelaki yang melepaskan tembakan dengan mensasarkan isterinya dalam kejadian di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) semalam tidak ditangkap sebelum ini kerana dia tidak mendatangkan ancaman besar pada ketika itu.

Semalam, media melaporkan isteri suspek pernah membuat laporan polis kerana diugut pada Disember 2023.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek hanya ditahan reman dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai merakam keterangannya.

“Selepas terima laporan ugutan jenayah daripada isteri suspek, kita tahan suspek di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan direman tiga hari sebelum dijamin selepas merekod keterangannya.

“Oleh kerana ia hanya membabitkan urusan rumah tangga biasa, kita tidak mengesan sebarang ancaman besar daripada suspek terhadap mangsa (isterinya) pada ketika itu.

“Sementara melengkapkan kertas untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, kes masih dalam siasatan lagi,” katanya dalam sidang media di IPD KLIA hari ini.

Beliau mengulas demikian selepas ditanya kenapa suspek tidak ditangkap awal dan dipisahkan selepas menerima laporan ugutan jenayah oleh isterinya.

Mengulas lanjut, beliau menambah, polis mempunyai proses berlunaskan ndang-undang dalam menyiasat hal rumah tangga sejurus menerima laporan ugutan jenayah oleh suami atau isterinya.

“Kalau polis ada keterangan cukup baru minta perintah interim dan sebgainya, jadi ini adalah proses siasatan. Kita tak boleh bertindak sewenang-wenangnya, tiba-tiba terima apa-apa kes di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah) terus minta dapatkan interim perlindungan.

“Lagipun, pada waktu itu kita tak dapat kesan ancamannya begitu besar terhadap mangsa (isteri suspek),” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast