Tangkap layar menunjukkan hantaran yang dimuat naik di Facebook dengan menyamakan pelanggan sebuah restoran makanan segera sebagai anjing dan babi.

GEORGE TOWN – Boikot yang melampau tidak patut digalakkan kerana ia mencerminkan sifat taksub dan kedengkian sekali gus merosakkan agama serta akhlak.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, secara prinsipnya tindakan boikot mana-mana restoran, syarikat atau premis perniagaan yang didapati melakukan penghinaan terhadap agama Islam atau umatnya boleh dianggap wajar.

Bagaimanapun, katanya, ia perlu dilakukan sekadar diperlukan atau secara sederhana sahaja sebagai tanda protes.

“Agama Islam tidak suka umatnya bersikap ekstrim dan taksub meskipun atas nama agama. Sikap demikian lazimnya didorong oleh kejahilan serta fikiran tertutup golongan yang tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang berbeza pandangan dan kepercayaan dengannya.

“Dalam dunia global masa kini, kehidupan bersama antara sesama warganegara yang berbeza etnik, agama dan budaya merupakan realiti yang mesti diakui.

“Di sinilah persefahaman dan toleransi amat mustahak. Perlu disedari bahawa di dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, kadangkala berlaku kejadian yang mengguris atau menyinggung perasaan mana-mana pihak sama ada disengajakan atau tidak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas hantaran memamparkan gambar pelanggan menikmati makanan di sebuah restoran makanan seperti anjing dan babi.

Tambah Wan Salim, umat Islam memerlukan kewarasan dan kebijaksanaan dalam mengurus kepelbagaian supaya tidak menambahkan lagi ketegangan yang boleh membawa kepada pergaduhan yang merugikan semua pihak.

“Dilihat daripada perspektif Islam, kepelbagaian adalah sesuatu yang lumrah. Ia adalah kehendak Allah SWT supaya manusia dapat kenal dan saling memanfaatkan kelebihan yang wujud dalam setiap bangsa dan kabilah.

“Kelainan dan kepelbagaian menjadi faktor positif yang menguntungkan, bukan sebaliknya dijadikan sebab untuk saling membenci dan bermusuh-musuhan.

“Sehubungan itu, saya menyeru semua rakyat Malaysia supaya sentiasa bekerjasama dalam memupuk dan menyuburkan perpaduan termasuk bertoleransi antara satu sama lain demi keamanan negara dan kesejahteraan semua.

“Jika berlaku kejadian yang tidak diingini atau tidak disenangi maka hendaklah ditangani dengan berhikmah dan bijaksana melalui rundingan, bukan dengan memberi reaksi yang melampau atau tidak rasional,” katanya. – MalaysiaGazette