Nancy Shukri

KUCHING – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyalurkan bantuan bersesuaian kepada wanita warga emas yang mendakwa menerima layanan buruk daripada dua pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pegawai dari pejabatnya sendiri telah bertemu wanita itu hari ini bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian.

“Pada masa yang sama kita akan menyiasat apa yang dikatakan menerusi media sosial (berkaitan dakwaan pegawai JKM memberi layanan buruk). Kita tidak dapat menerima begitu sahaja… mungkin ada sebab-sebab tertentu membuatkan perkara ini (berlaku),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita yang menyiarkan dakwaan wanita itu bersama-sama suaminya seorang pemegang kad penduduk tetap, diberi layanan buruk oleh dua pegawai JKM dan dipaksa ke Terminal Bas Bersepadu (TBS) Bandar Tasik Selatan kerana menjadi gelandangan di Kuala Lumpur.

Dalam laporan itu, wanita berkenaan mendakwa rayuannya untuk terus kekal tinggal di kawasan kaki lima berdekatan sebuah restoran tempat dia bekerja mencuci pinggan mangkuk bagi menyara diri dan suaminya yang mengalami kemurungan turut tidak diendahkan.

Menurut wanita itu, seorang kenalan bersama suaminya telah bergegas ke TBS sebelum pegawai-pegawai JKM itu bersetuju melepaskan mereka.

Nancy berkata, kementeriannya dengan bantuan sebuah badan bukan kerajaan telah menyediakan tempat tinggal sementara buat pasangan itu dan hasil siasatan setakat ini mendapati wanita berkenaan mahu bekerja sendiri dan bukan menjadi penerima bantuan semata-mata.

“Alhamdulillah, mereka telah memberikan kerjasama kepada pegawai-pegawai pejabat saya dan kita akan pastikan mereka akan dijaga dengan sebaik-baiknya,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast