Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melawat Replika Perumahan Projek SASaR di PSV Sales Gallery, Sungai Besi Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 16 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Projek Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR)  Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sungai Besi yang melibatkan pembinaan 3,500 unit rumah dijangka siap pada hujung tahun depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerja pembinaan yang bermula 21 hari lebih awal daripada jadual kini mencapai 65.51 peratus.

“Seperti kita sedia maklum soal perumahan bagi anggota tentera merupakan perkara yang diberi tumpuan dan penekanan bagi kerajaan antara program-program perumahan yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan.

“Jadi pada hari ini kehadiran saya untuk melihat sejauh mana kerja pembinaan,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan Lawatan Tapak Perumahan Projek SASaR Sungai Besi, di sini, hari ini.

Kerja-kerja pembinaan dua lagi pembinaan projek pembinaan SASaR ATM di Kem Wardieburn dan di Pusat Latihan Polis Tentera Diraja (PULAPOT), Setapak dijangka bermula pada Julai ini.

Sementara itu, Mohamed Khaled tidak menolak SASaR akan diperluaskan ke negeri lain berdasarkan permintaan anggota.

“Pelaksanaan yang lain kita jangka bermula setelah mendapat semua kelulusan rancangan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)  projek rintis kita gunakan SASaR Sungai Besi untuk kita lihat pelaksanaan dan kejayaannya kita merancang laksanakan di tempat lain di seluruh negara.

“Memang ada permintaan di negeri lain kita buat kajian pasaran kita tidak bina banyak seperti di sini, saya percaya bergantung permintaan dan sebagainya dan kenal pasti tapak yang sesuai dan boleh dilaksanakan projek dan pembinaan,” katanya. -MalaysiaGazette