Oplus_131072

HULU SELANGOR – Perikatan Nasional (PN) masih enggan mendedahkan nama dan parti komponennya yang mana akan bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebaliknya pihaknya hanya akan meletakkan calon boleh menang sama ada anak tempatan mahu pun profesional.

“Bagi kita calon yang boleh membawa kemenangan, faktor boleh menang penting dalam PRK ini. Kita bertanding atas nama PN, bukan atas nama individu atau parti (komponen).

“Sesiapa juga yang kita yakin boleh melonjakkan sokongan dan membawa kemenangan dalam pilihan raya ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau bersama pimpinan PN Selangor mengadakan ziarah Aidilfitri hampir tiga jam di sekitar Kuala Kubu Bharu.

Sebelum ini, kerusi DUN Kuala Kubu Bharu menjadi kosong susulan kematian Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu.

Dalam PRN15 pada Ogos tahun lepas, PN menang dua dari tiga kerusi dalam Parlimen Hulu Selangor, masing-masing DUN Hulu Bernam dan Batang Kali.

Kuala Kubu Bharu merupakan satu-satunya kerusi dimenangi PH di bawah Parlimen Hulu Selangor setelah penyandangnya mendiang Kee Hiong dari DAP mempertahankan kerusi itu selama penggal ketiga.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PN mengesahkan ada beberapa nama calon sudah dikemukakan namun ia masih belum dimuktamadkan lagi.

“Ada beberapa nama, alhamdulillah PN ini tidak kurang dengan calon-calon yang berpotensi dan mempunyai pengalaman malah diterima baik oleh masyarakat.

“Cuma kita nak mencari yang terbaik dalam kalangan baik ini. Lebih penting kita dapat maklum balas daripada pengundi kerana mereka yang akan menentukan kemenangan pada 11 Mei akan datang,” katanya.

Ditanya kemungkinan PN akan menurunkan semula calon daripada Gerakan, beliau enggan mengesahkan perkara tersebut.

“Kita tak bertanding atas nama parti, calon itu mesti atas tiket PN, sebab PN adalah sebuah parti yang berdaftar,” katanya.

Bagaimanapun Mohamed Azmin memberi bayangan calon PN itu berkemungkinan besar adalah calon Melayu susulan sokongan terbesar kaum itu pada PRN15 lalu.

“Sokongan Melayu di Kuala Kubu Bharu cukup positif dan strategi kita ialah pertahankan kubu dan kembangkan sokongan,” katanya.

Beliau turut optimis sokongan bukan Melayu terhadap PN menunjukkan perkembangan positif khususnya dalam kalangan pengundi Cina dan India.

“Ini kerana mereka melihat kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang gagal menguruskan ekonomi, isu-isu berbaur perkauman dan agama, masyarakat pula terpisah dalam keadaan teruk,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast