Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diletakkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi melakukan rondaan keselamatan susulan kejadian tembak baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkara itu dimaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada hari ini.

Menurutnya, KDN akan membuat keputusan sama ada penempatan PGA bersifat kekal atau sementara.

“Kawasan lapangan terbang terutama di kawasan insiden (tembakan) iaitu kawasan orang awam menunggu di bawah pasukan keselamatan juga terutama polis.

“Kabinet dimaklumkan KDN telah mengerakkan PGA untuk membuat kawalan di lapangan terbang.

“Ini terpulang kepada KDN, saya tidak berada dalam kedudukan untuk komen sama ada ia langkah kekal atau sementara,” katanya dalam sidang media hari ini.

Anthony juga berkata,  pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan PDRM akan bertemu dan berbincang untuk  melihat pendekatan terbaik dalam meningkatkan tahap keselamatan di lapangan terbang.

Pada Ahad lalu, seorang lelaki telah melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena seorang pengawal peribadi dalam kejadian pukul 1.20 pagi.

Wanita yang menjadi sasaran dalam insiden itu terselamat dan pihak polis memaklumkan kejadian bermotifkan perihal peribadi antara suspek dan isterinya. -MalaysiaGazette