Najib Razak

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa supaya prosiding pengampunan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijalankan secara terbuka.

Badan bukan kerajaan tersebut menegaskan kes berkenaan melibatkan individu berprofil tinggi, kepentingan awam dan dana awam seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

Justeru katanya, adalah perlu prosiding permohonan Najib di Mahkamah Tinggi untuk memaksa kerajaan mendedahkan “perintah tambahan’ didakwa daripada Yang di-Pertuan Agong terdahulu membenarkan beliau untuk menjalani hukuman di bawah tahanan rumah dijalankan secara terbuka.

“Pada masa sama, Bersih turut mempersoalkan mengapa Pejabat Timbalan Pendakwa Raya tidak membantah permohonan itu (untuk melarang media membuat liputan prosiding mahkamah) dan berpendapat mereka perlu menjelaskan kepada umum alasan mereka tidak membantah.

“Prosiding kes berprofil tinggi sebegini seharusnya telus dan terbuka kerana orang ramai berhak mengetahui status sebenar kes tersebut. Jika tidak, ia mungkin menimbulkan persepsi double standard yang boleh menghakis keyakinan orang ramai terhadap kerajaan dan institusi keadilan kita,” katanya dalam kenyataan.

Bersih menegaskan bahawa prinsip keadilan sama rata dan ketelusan perlu sentiasa dipertahankan sebagai prinsip utama untuk memelihara sistem keadilan dan kedaulatan undang-undang di Malaysia.

Media semalam melaporkan, orang awam termasuk wartawan tidak dibenarkan mendengar prosiding permohonan Najib di Mahkamah Tinggi.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat permohonan itu di hadapan Hakim Amarjeet Singh pada permulaan permohonan Najib untuk membuat cabaran undang-undang.

“Melihat kepada sebahagian kandungan yang didedahkan dalam afidavit sebelum ini, ia kelihatan sensitif,” katanya.

Shafee menambah Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly, yang mewakili Pejabat Peguam Negara, tidak membantah kes itu didengar di kamar.

Amarjeet kemudiannya meminta semua orang di galeri awam termasuk wartawan perlu keluar dari mahkamah.

Dalam permohonannya yang difailkan pada 1 April, Najib mendakwa bahawa Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengeluarkan “perintah tambahan” semasa mesyuarat lembaga pada 29 Januari, sehari sebelum tempoh penggal baginda berakhir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast