Hamid menerima lintas hormat terakhir bersempena pesaraan wajib esok di Ibu Pejabat APMM Putrajaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin akan bersara wajib berkuatkuasa esok.

Beliau bersara selepas 42 tahun menabur bakti bersama APMM dalam menjaga keselamatan perairan negara.

Unit Komunikasi Korporat APMM dalam satu kenyataan hari ini berkata, sempena persaraannya, Hamid diraikan dalam acara street lining yang telah diadakan di pekarangan Ibu Pejabat APMM di Putrajaya hari ini.

“Walaupun hanya memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah keenam Maritim Malaysia untuk tempoh singkat lima bulan sejak 6 November lalu, Hamid telah meletakkan teras utama kepada seluruh warga agensi berkenaan dengan memfokuskan kepada integriti, operasi dan ilmu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

“Walaupun baru lima bulan menerajui Maritim Malaysia, Hamid telah melakarkan beberapa kejayaan agensi melalui peningkatan operasi Maritim Malaysia khususnya di sempadan perairan negara,” kata kenyataan yang sama.

Antara pencapaian yang dibanggakan adalah berjaya menguruskan pertambahan aset baharu seperti perolehan empat buah helikopter medium lift, sebuah kapal Multi-Purpose Mission Ship (MPMS), dua buah New Generation Petrol Craft (NGPC), dua buah bot pemintas Pasukan Tindakan Khas (PTK) dan lima buah bot pemintas Rigid Hull Fenders Boat (RHFB) selain Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) dari US Coast Guard.

Hamid mengetip keluar kad perakam waktu tamat waktu bertugas kali terakhir sebagai tanda persaraan wajib dalam majlis Street Lining di Ibu Pejabat APMM Putrajaya hari ini.

Tambahnya, Hamid turut berjaya memastikan OPV1 yang telah dinamakan sebagai Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah berjaya disiapkan dan beroperasi di perairan Sarawak pada awal 2024.

Selain itu, Hamid turut berjaya melancarkan Pelan Strategik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2023 – 2033 yang bakal dijadikan sebagai landasan untuk agensi mencapai status sebagai Pusat Kecemerlangan Serantau dalam Penguatkuasaan
Maritim dan CARILAMAT atau Bantuan Bencana.

Kejayaan yang disenaraikan adalah antara usaha berpasukan yang telah digembelingkan oleh Hamid ketika beliau memegang jawatan nombor satu di dalam agensi ini. kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette