Siti Haryati (baju hitam) membuat laporan polis terhadap Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan isu pembayaran bantuan perayaan kepada pekerja bank di Balai Polis Dato Keramat, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) Wilayah Utara menggesa pihak polis menjalankan siasatan terhadap Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong yang didakwa menyalahgunakan kuasa berhubung pembayaran bantuan perayaan bagi pekerja-pekerja bank.

Pengerusi NUBE Wilayah Utara, Abdul Jamil Jalaludeen mendakwa, Steven Sim telah bersekongkol dengan pihak Persatuan Bank-Bank Perdagangan Tanah Melayu (MCBA) susulan rundingan berhubung pembayaran bantuan itu dibuat tanpa penglibatan NUBE.

“Pada awalnya apabila Menteri (Steven Sim) mengumumkan beliau ingin memperkukuhkan kerjasama dengan kesatuan sekerja dan kami semua gembira.

“Namun, campur tangan beliau ketika rundingan damai berjalan antara NUBE dengan MCBA berhubung pembayaran bantuan perayaan itu pada awal tahun ini sesuatu yang mengejutkan kerana ia berlaku tanpa penglibatan kami (NUBE).

Abdul Jamil.

“Malah lebih mengecewakan apabila beliau (Steven Sim) tanpa pengetahuan dan persetujuan pihak NUBE telah membenarkan MCBA memberikan bantuan khas perayaan itu pada kadar setengah bulan gaji serta secara one-off,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Abdul Jamil, persetujuan mengenai pembayaran bantuan yang dilakukan Steven Sim bertentangan dengan Memorandum Perjanjian bersama MCBA yang ditandatangani mereka pada 5 April tahun lalu.

“Jadi kami rasa ini adalah satu penyalahgunaan kuasa oleh Steven Sim serta penganiyaan terhadap ahli-ahli NUBE kerana keputusan beliau menyebabkan MCBA bertindak bertentangan dengan memorandum perjanjian tersebut.

“Selain itu, tindakan Steven Sim juga memberi impak kepada kira-kira 15,000 pekerja-pekerja bank yang terdiri daripada golongan B40 dan M40.

“Steven Sim telah mengkhianati kami sedangkan dia sepatutnya menjaga kepentingan pekerja-pekerja malah, sebagai seorang menteri sebarang perbincangkan membabitkan pertikaian seharusnya memerlukan penglibatan semua pihak terbabit,” katanya.

Tambah beliau, tindakan Steven Sim ini telah menyebabkan NUBE hilang kepercayaan terhadap beliau.

“Rupanya ucapan Steven Sim bahawa beliau ingin memperkukuhkan kerjasama dengan kesatuan sekerja hanyalah satu sandiwara KESUMA.

“Tindakan beliau umpana api dalam sekam dan kedudukan kami adalah seperti harapkan pegar, pegar makan padi,” tegasnya.

Terdahulu, Setiausaha Kehormat NUBE Wilayah Utara, Siti Haryati Kamal membuat laporan polis terhadap Steven Sim di Balai Polis Dato Keramat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap beliau.

Hadir sama, Abdul Jamil dan 20 ahli NUBE Wilayah Utara. – MalaysiaGazette