Peguam Sivahnanthan Ragava (kiri) manakala tertuduh V Nathan (kanan).

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini memerintahkan seorang pemandu lori yang dituduh membunuh kekasih warga Thailand dengan cara menolaknya dari tingkat 23 sebuah kondominium dihantar ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta untuk pemeriksaan psikiatri.

V Nathan, 37, dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 2018.

Ketika prosiding hari ini, Majistret Redza Azhar Rezali membenarkan permohonan peguam tertuduh, Sivahnanthan Ragava bahawa anak guamnya perlu dibenarkan menjalani pemeriksaan kesihatan memandangkan lelaki itu berhenti memberikan sebarang maklum balas selepas prosiding pertama.

Sivahnanthan yang membuat permohonan di bawah Seksyen 342 Prosedur Jenayah memberitahu, beliau menghadapi kesukaran untuk mendapat sebarang arahan daripada anak guamnya dan tidak responsif yang berkemungkinan masalah mental dihadapinya.

“Anak guam saya pernah terlibat dengan kemalangan yang mengakibatkan pendarahan intrakranial dan pneumokranium sebelum ini (pendarahan kepala).

”Tujuan saya memohon perintah ini juga kerana agak risau anak guam saya yang mentalnya tidak begitu stabil akan cuba melakukan sesuatu dalam penjara sehingga mengakibatkan insiden tidak di ingini.

“Saya dengan rendah diri ingin memohon daripada mahkamah supaya menghantar anak guam saya pemeriksaan psikiatri terlebih dahulu sebelum bermulanya prosiding nanti.

“Adalah tidak adil untuk kami mendapatkan keadilan sewajarnya andai anak guam saya tidak begitu responsif dibicarakan dalam kes jenayah ini,” katanya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Mawika Lumyai di sebuah unit kondominium di Setia Alam, Seksyen U13, pada jam 10.02 malam, 28 Februari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati, sekiranya didapati bersalah.

Dokumen berkaitan masalah kesihatan tertuduh daripada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) diserahkan kepada mahkamah hari ini.

Permohonan Sivahnanthan tidak mendapat bantahan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh untuk menjalani pemeriksaan psikiatri selama sebulan di Hospital Tanjung Rambutan sebelum tarikh baharu ditetapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast