KUANTAN – Seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan menyeleweng diesel subsidi di sebuah lombong di Muadzam Shah, Rompin baru-baru ini.
Lelaki berkenaan ditahan Rabu lalu selepas perbuatannya mencurigakan dan diekori oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, suspek berusia 45 tahun ditahan dalam Operasi Ops Tiris 3.0 melalui risikan yang teah dijalankan yang telah mengekorinya dari Pekan hingga ke Muadzam Shah.
KPDN turut merampas sebuah lori tiga tan diubah suai dan lebih 2,600 liter diesel bersubsidi yang cuba diselewengkan ketika menahan suspek selain merampas tangki simpanan, motor pam dan beberapa peralatan lain dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan RM75,641.
“Operasi Ops Tiris 3.0 dijalankan hasil risikan dan aduan awam berhubung aktiviti mengutip minyak diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak sekitar Kuantan menggunakan lori diubah suai untuk dijual secara haram kepada industri.
“Hasil risikan yang dijalankan, lori berkenaan telah dikesan mengisi minyak beberapa kali dalam keadaan mencurigakan di tiga stesen minyak sepanjang Jalan Pekan di sini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Jezlily, lelaki berkenaan ditahan ketika sedang membuat pemindahan diesel dari lori ke sebuah tangki di kawasan lombong berkenaan ketika serbuan dilakukan.
Susulan itu, menurutnya, dua kertas siasatan telah dibuka iaitu kepada individu lelaki terbabit dan pemilik skid tank yang disita kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak melakukan kesalahan dan tidak memiliki permit menyimpan barang kawalan petroleum.
Jezlily berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961. – MalaysiaGazette