KUALA LUMPUR – Seorang pencuci kolam yang disyaki mencabul kakak kepada teman wanitanya berstatus orang kurang upaya (OKU) ditahan di Ampang Rabu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazruel Ekram Abu Saare berkata, menurut mangsa pada mulanya dia diajak suspek untuk berjalan-jalan menaiki motosikal pada jam 9.30 malam sehari sebelum itu.
“Selepas selesai meronda suspek mengajak mangsa untuk pergi ke kawasan tangga bawah rumah di belakang lif pangsapuri di Bandar Baru Ampang
“Semasa berada di tangga belakang lif pangsapuri, suspek secara tiba-tiba bertindak mencabul tanpa kerelaan.
“Mangsa setelah pulang dari tempat kerja terus menceritakan kejadian yang menimpa dirinya kepada adik perempuannya yang merupakan kekasih suspek sebelum dimaklumkan kepada ibu kandung mereka untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, bertindak atas laporan polis mangsa, pada jam 8 malam Rabu lalu, sepasukan polis telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam perbuatan jenayah itu.
Katanya, suspek berusia 38 tahun itu bekerja sebagai pencuci kolam dan polis merampas sebuah telefon bimbit milik suspek.
“Pemeriksaan terhadap telefon bimbit suspek mendapati dia menyimpan gambar dan video lucah.
“Suspek dilibatkan dalam ujian saringan air kencing sebelum mendapati negatif penggunaan dadah namun semakan menunjukkan suspek memiliki empat rekod jenayah lampau.
“Suspek kini direman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu,” katanya.
Menurut Nazruel Ekram, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki gambar dan video lucan yang boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette