Datuk Seri Mohamad Sabu hadir majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor anjuran Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

KUALA SELANGOR – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Mohamad Sabu menasihatkan kepada pihak berkenaan supaya tidak membuang makanan yang hampir tarikh luput.

Beliau yang juga Presiden Amanah berkata, barangan tersebut boleh diberikan kepada kumpulan yang memerlukan.

“Bila date (tarikh) nak habis, kalau kita tak tahu nak buat apa, paling kurang bersedekahlah pada pihak-pihak yang memerlukan,” katanya ringkas.

Beliau yang ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor anjuran Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad diminta mengulas insiden pembuangan beras dan produk makanan lain di di tapak pelupusan sampah Kampung Gunung Senyum, Temerloh, Pahang.

Mohamad menasihatkan rakyat supaya tidak melakukan pembaziran terhadap makanan seperti yang dilaporkan kebelakangan ini.

“Kalau sedia makanan banyak tak ada masalah kena habiskan sebab sekarang ini Alam Flora mendapati apa yang dibuang kebanyakan adalah makanan.

“Pakar agama kita menasihatkan elak pembaziran, makan biar habis. Macam nasihat emak saya dulu kalau nasi jatuh sebiji atas lantai, ambil balik kerana nak dapat padi selama enam bulan. Jadi praktis itu tak ada pada kita sekarang.

“Pembuangan banyak sekali di hotel-hotel. Barang mahal kita terima hakikat, pada masa yang sama pembaziran itu elak,” nasihatnya.

Sementara itu, Dr Dzulkefly yang juga Menteri Kesihatan menasihatkan orang ramai untuk tidak memakan produk melepasi tarikh luput.

Pihak berkuasa, menurut beliau, perlu memastikan pihak yang berada dalam rangkaian perniagaan tidak menyimpan dan menyorok produk makanan hingga melepasi tarikh luput.

“Kalau pasal makanan jangan ambil mudah. (Kejadian) Itu adalah (melibatkan) kampit beras dan makanan kering. Mereka rasa terpanggil untuk ambil. Perkara ini kita perlu ambil tindakan segera memberitahu pihak berwajib. Mereka tidak akan berjaya menembusi jika ada benteng yang kuat.

“Siapa yang menyimpan stockpile ini? Adakah mereka ini pengurus restoran, dalam rangkaian peruncit makanan? Kita kena tahu.

“Dan saya pasti mereka sedar bahawa mereka tidak boleh menyimpan, menyorok kerana ia ada dalam akta. Tidak mudah untuk mereka lakukan sewenangnya. Kita mahu penguatkuasaan dipertingkatkan,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Ismail Mohamed Said sebelum ini dilaporkan mengakui barangan keperluan asas yang dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh adalah dari tempat simpanan dikendalikan pihaknya.

Beliau berkata, barangan terbabit sudah mengalami kerosakan dan tidak selamat untuk diagihkan kepada penduduk sekitar.

Katanya, beras dan barangan dapur tersebut merupakan stok simpanan yang sentiasa disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika menjadi Ahli Parlimen. – MalaysiaGazette