Antara perwakilan yang hadir pada berucap Konvensyen 25 Tahun PKR di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 21 APRIL 2024.

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijadual menganjurkan majlis makan malam sempena sambutan Jubli Perak 25 tahun penubuhannya pada 11 Mei ini.

Pengarah Sambutan Jubli Perak PKR, Wong Chen berkata, ia akan dianjurkan secara dua sesi di Sentul Depot di Kuala Lumpur dengan kapasiti kira-kira 10,000 tetamu.

Katanya, sesi pertama majlis bertemakan ‘Teruskan Perjuangan Reformasi’ itu akan dibuka kepada orang ramai antara pukul 9 pagi hingga 5 petang.

“Sesi kedua akan diteruskan antara 6.30 petang hingga 10 malam membabitkan 3,500 undangan antaranya kepemimpinan PKR, pemimpin parti komponen Kerajaan Madani dan duta.

“Majlis ini akan menampilkan pameran 25 tahun sejarah PKR yang dilakarkan pada dinding seluas 30.48 meter selain turut menempatkan reruai barangan PKR, gerai makanan, lokasi deklamasi puisi dan penghibur jalanan.

“Sambutan sesi malam mengetengahkan konsep hampir sama tetapi dengan kehadiran kepemimpinan PKR dan pemimpin parti komponen Kerajaan Madani, duta dan tetamu kenamaan.

“Selain itu, akan ada ucapan rasmi dan persembahan, termasuk daripada artis terkenal,” katanya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR di sini hari ini.

Menurut Wong Chen, pameran sejarah penubuhan PKR itu akan dikendalikan kartunis Zunar berpandukan arkib parti sejak era permulaan reformasi hingga kini.

Apa yang lebih penting, katanya, adalah peringatan mengenai kesukaran jatuh bangun perjuangan parti hingga berjaya menawan Putrajaya.

“Justeru, marilah beramai-ramai meraikan sambutan Jubli Perak PKR.

“Jika Setiausaha Agung selaku Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail beri kelulusan, kita mungkin ada persembahan bunga api dengan dana bagi tujuan itu perlu dicari oleh menteri daripada blok PKR.

“Kita cuba birukan langit malam 25 tahun kita selain turut memperingati jasa pemimpin terdahulu termasuk Azmin (bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan semualah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Subang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast