TARIKH  22 April telah diisytihar sebagai Hari Bumi Sedunia setiap tahun sebagai pengingat kepada global akan tanggungjawab untuk menjaga planet Bumi bagi kemampanan generasi akan datang. Tema Hari Bumi pada tahun ini “Planet vs Plastics” dipilih bagi menangani salah satu isu sejagat masa kini iaitu pencemaran plastik serta keperluan bertindak untuk mencapai sasaran pengurangan 60% pengeluaran plastik global menjelang tahun 2040.

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) sebagai sebuah jabatan yang bertanggungjawab menjaga persekitaran akuatik komited dalam menangani isu pencemaran plastik. DOF melalui Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) yang mempunyai kapasiti dan kapabiliti telah membangunkan kajian bagi menganalisis mikroplastik sejak lima tahun yang lalu. Kajian pencemaran mikroplastik dan makroplastik yang mula dilaksanakan sejak tahun 2019 telah dijalankan di persekitaran akuatik Semenanjung Malaysia (khususnya bahagian barat laut dan pantai timur), Labuan serta dalam tisu ikan komersial juga kerang-kerangan.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain, dapatan kajian menunjukkan jenis plastik yang kerap ditemui dalam persekitaran akuatik tempatan dan global adalah rayon, polyethylene dan polypropylene. Jenis plastik ini digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian terutama dalam industri pakaian, pembungkusan makanan dan lain-lain industri. Lebih membimbangkan adalah bahan kimia yang digunakan di dalam penghasilan plastik seperti bispenol A (BPA) dan phthalate boleh dirembes dan berakumulasi di dalam persekitaran dan sumber makanan dan kebimbangan adalah mengenai kesan jangka panjang terhadap kesihatan sejagat.

Hubung kait antara bahan kimia ini dengan masalah kesihatan seperti ketidakseimbangan hormon serta masalah reproduksi telah banyak dilaporkan. Pendedahan berterusan mikroplastik pada kepekatan yang tinggi kepada ikan juga akan mengakibatkan pelbagai impak negatif seperti tekanan oksidatif, keradangan, imunotoksik, genotoksik, kerosakan DNA serta mengubah mikrobiota usus yang memberi kesan kepada pertumbuhan dan kualiti ikan. Selain itu, kepadatan mikroplastik yang tinggi di pantai penetasan penyu akan meningkatkan suhu pasir pantai sekaligus mengancam perkembangan penetasan penyu.

Kajian awal berkaitan kuantiti, komposisi dan kepadatan plastik yang ditemui di dasar laut Kuala Pahang, Malaysia juga telah dijalankan pada tahun 2020. Bagi menangani krisis pencemaran plastik, kerjasama semua pihak daripada kerajaan, perniagaan, komuniti hinggalah kepada setiap individu adalah sangat diperlukan.

Langkah bersepadu daripada kita semua perlu untuk mengurangkan pencemaran dan penggunaan plastik, meningkatkan kecekapan sistem pengurusan sisa, serta galakan penggunaan bahan alternatif amat penting untuk menangani isu ini. Sempena Hari Bumi 2024, DOF pada 21 April 2024 telah melaksanakan pelepasan 100 induk ikan kelisa emas di Tasik Bukit Merah sebagai sebagai usaha memulihara serta menjamin kelestarian sumber khazanah bumi dan pelbagai lagi program telah dirangka bagi mendukung Hari Bumi pada tahun ini. DOF ingin mengajak semua pihak untuk bersama-sama melindungi bumi daripada kesengsaraan pencemaran plastik.

Kesedaran sangat dituntut dalam membuat pilihan tepat dalam kehidupan seharian kerana ia akan menyumbang kepada masa depan yang lebih sihat dan berkelanjutan bagi generasi yang akan datang. Bersama-sama, kita dapat mengubah arus pencemaran plastik dan memastikan planet kita tetap menjadi “rumah” yang makmur bagi semua kehidupan. Ingat, ‘Pilih yang boleh digunakan semula, jauhkan plastik sekali guna dari pinggan anda!’.

Jabatan Perikanan Malaysia
Wisma Tani, Putrajaya