Saturday, May 18, 2024
Home Utama Rakyat Malaysia di Iran dibawa pulang jika konflik dengan Israel meruncing –...

Rakyat Malaysia di Iran dibawa pulang jika konflik dengan Israel meruncing – Khaled

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hadir melawat Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Taman Seruling, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 22 APRIL 2024.

HULU SELANGOR – Kerajaan akan memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Iran terjamin dengan membawa mereka pulang ke tanah air jika konflik membabitkan negara itu dengan Israel semakin teruk.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun berkata, segala perancangan dalam isu terbabit tertakluk kepada keputusan Wisma Putra.

Beliau menjelaskan, pihaknya tidak dapat mengulas lanjut kerana belum ada maklumat sahih berhubung konflik berkenaan.

“Kita pun tidak tahu sumber dan berita yang benar-benar sahih. Kalau lihat tindak balas kononnya dron dari Israel menyerang di kawasan pusat nuklear Iran dan semua dron itu berjaya ditembak jatuh tapi tiada konflik lebih daripada itu.

“Israel dan Amerika Syarikat juga tidak beri sebarang kenyataan. Kita hanya dengar daripada TikTok jadi kita tidak boleh beri ulasan kerana tiada maklumat tepat.

“Namun jika berlaku konflik lebih teruk, kerajaan akan ambil tindakan dalam memastikan rakyat kita dalam keadaan selamat dan terhindar jika benar ada peperangan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kementeriannya kini bergantung kepada maklumat daripada Wisma Putra dalam menentukan peranan yang perlu diambil oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Ketika ini bukan bermakna ATM disuruh pergi ke Iran tapi jika perlu kita akan kaji dahulu ogistik dan laluan yang boleh dan tidak boleh kita masuk.

“Sekiranya itu yang berlaku maka barisan hadapan dalam konflik ini ialah Kementerian Luar dan selepas itu barulah beritahu kita peranan yang boleh dimainkan sebab tentera tidak boleh terus masuk ke negara orang,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedia membawa pulang rakyat Malaysia di Iran jika perkembangan konflik antara negara itu dan rejim Zionis makin membimbangkan.

Menurut Anwar, kerajaan akan memperincikan sekali lagi tindakan susulan yang bakal diambil susulan serangan terkini di Isfahan, Iran yang dilakukan Israel. – MalaysiaGazette