Asisten Komisioner Cha Hoong Fong

KUALA LUMPUR – Seorang suspek lelaki yang dikehendaki polis bersabit kes jenayah ragut seorang penunggang motosikal pada 15 April lalu di Klang berjaya diberkas polis di Langkawi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, identiti suspek, Muhammad Syafi’ei Hasan berusia 24 tahun pernah dikongsi polis kepada media sebelum ini telah ditahan di Kedah semalam.

Katanya, polis telah mempergiatkan pemburuan suspek sejurus menerima aduan mangsa berusia 20 tahun pada 15 April lalu selepas beg silangnya diragut oleh suspek yang mengekorinya dari belakang.

Kejadian berlaku pukul 8.50 pagi di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Raja Zarina, Jalan Persiaran Raja Muda Musa itu menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan.

“Bertindak atas maklumat, pada 21 April jam lebih kurang 4.15 petang sepasukan Unit Polis Pelancong, Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi telah berjaya membuat tangkapan ke atas suspek lelaki berusia 24 tahun.

“Suspek warga tempatan itu telah ditahan di hadapan medan selera Penarak, Kuah di Langkawi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hoong Fong, pemeriksaan lanjut terhadap suspek turut membawa kepada rampasan beberapa barang kes yang boleh membantu siasatan.

“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau bersabit jenayah dan dua rekod dadah.

“Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang pagi tadi (Isnin) dan dibenarkan direman selama empat hari sehingga 25 April ini untuk membantu siasatan lanjut.

“Pegawai penyiasat kes sedang dalam tindakan melengkapkan kertas siasatan dan akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam tempoh terdekat disamping menyeru kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu agar tampil menyalurkannya kepada polis untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan semasa melakukan rompakan.

Jika disabitkan kesalahannya boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan. – MalaysiaGazette