Chang Lih Kang.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi agensinya, Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) melancarkan platform MYStartup sebagai Ekosistem Startup Tetingkap Tunggal bagi ekosistem syarikat pemula di negara ini.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, platform itu dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) dan akan berfungsi sebagai platform sehenti yang menghubungkan semua pihak berkepentingan dalam ekosistem ‘startup’ di negara ini.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan antara usaha mencapai ekosistem matang dan berkembang menjelang 2025, dengan 5,000 rantaian syarikat pemula yang berjaya.

“MYStartup bertujuan untuk menyatukan pengasas, pelabur, bakat teknologi, agensi kerajaan dan pemain ekosistem sambil menawarkan data, pandangan dan sumber yang komprehensif bagi memulakan dan mengembangkan perniagaan, pilihan pembiayaan, dan mengakses perkhidmatan sokongan dalam ekosistem pemula Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Sidang Kemuncak KL20 2024 dan majlis perasmian MYStartup di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Lih Kang menambah ekosistem syarikat pemula akan terus berkembang dengan hampir 4,000 startup yang merupakan nadi inovasi dengan penilaian keseluruhan melebihi AS$5 bilion sehingga kini.

Katanya, MYStartup Single Window direka untuk memupuk kerjasama, inovasi dan jangkauan global, menawarkan maklumat yang teratur kepada pengasas, pelabur dan bakat teknologi.

“Ia meliputi pencerahan dan sumber maklumat mengenai permulaan dan perkembangan startup, pangkalan data menyeluruh tentang semua startup di Malaysia dan firma modal teroka, mengandungi maklumat penting tentang pembiayaan, butiran perniagaan dan status pengumpulan dana aktif yang dikemaskini secara berkala.

“Selain itu, MYStartup AI membolehkan pertanyaan berkaitan ekosistem startup Malaysia di mana ciri-ciri baharu ini membolehkan proses lancar dan teratur yang memantapkan kecekapan dan keberkesanan serta mengurangkan birokrasi,” katanya.

Dianjurkan oleh Kementerian Ekonomi, Sidang Kemuncak KL20 2024 bakal merangsang semula kedudukan Malaysia sebagai hab terkemuka untuk pemula dan pemodal teroka, serta mengangkat Kuala Lumpur ke dalam senarai 20 hab pemula terbaik global menjelang 2030.

Lebih 3,000 peserta terdiri daripada pelabur antarabangsa dan syarikat-syarikat pemula niaga dijangka menghadiri acara tersebut. – MalaysiaGazette