Dr. Sathia Prakash Nadarajan

KUALA LUMPUR – Pengundi  komuniti India di Kuala Kubu Baharu matang memilih pemimpin menerusi proses undi dalam Pilihan Raya Kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) pada 11 Mei ini.

Timbalan Setiausaha Agung PKR Pusat, Dr. Sathia Prakash Nadaraja berkata, adalah penting untuk menentukan bakal wakil rakyat dalam PRK kali ini yang boleh menjamin masa depan mereka.

“Pengundi di KKB khususnya komuniti India yang mewakili 18 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi berdaftar yang layak mengundi kali ini wajar berfikir secara rasional apa yang Perikatan Nasional (PN) lakukan untuk kesejahteraan mereka ketika mereka berkuasa.

“PN sentiasa memainkan sandiwara agama demi meraih undi.bayangkan apa yang mereka telah laksanakan untuk anda semua ketika berkuasa?

“Selepas hilang kuasa peringkat Pusat kini mereka mempengaruhi pihak tertentu yang tidak lagi berkuasa untuk mengelirukan rakyat, saya minta pengundi India jangan sesekali memberi ruang kepada mereka mempengaruhi minda anda,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Penyelaras Parlimen PKR Hulu Selangor itu juga menambah pihaknya tidak mahu pengundi di KKB khususnya masyarakat India menyesal dengan mengundi pihak yang salah dan tidak mampu menjamin kesejahteraan untuk mereka.

Beliau dalam perkembangan sama turut menempelak sikap pihak tertentu yang cuba mempengaruhi pengundi India untuk memulaukan dan merosakkan undi dalam PRK kali ini.

Katanya, tindakan pihak tertentu itu adalah satu perbuatan yang tidak beretika dan bertentangan dengan amalan demokrasi negara.

“Mengundi itu adalah hak demokrasi yang dimiliki setiap rakyat di negara ini dan tiada siapa yang mempunyai hak atau mengarahkan pengundi untuk memulaukan atau merosakkan undi dalam pilihan raya.

“Pengundi khususnya masyarakat India perlu menghukum puak-puak sedemikian dengan menggunakan hak demokrasi yang dimiliki mereka dengan memilih pemimpin yang benar-benar bersedia berkhidmat dan melindungi kepentingan serta menjamin kesejahteraan komuniti berkenaan bukannya yang suka bermain retorik politik,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Dr Sathia Prakash menjelaskan yang Selangor satu-satunya kerajaan negeri di bawah Kerajaan Perpaduan yang memberikan bantuan paling banyak kepada semua lapisan masyarakat termasuk masyarakat India.

Katanya, inisiatif kerajaan negeri itu yang disediakan khusus untuk masyrakat India adalah antaranya bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-SEED), bantuan kepada sekolah Tamil, kuih dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Tambahnya laagi, kerajaan Pusat juga telah mengumumkan dana tambahan RM30 juta bagi perkasakan wanita India dalam bidang perniagaan, Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan sebagainya kerana begitu mengambil berat tentang masyarakat India.

“Ibarat sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna, jangan sesekali mensia-siakan undi anda yang sangat bernilai itu dengan terjerat dalam janji manis, bulan bintang dan memangkah PN yang belum tentu suara anda boleh didengar atau dibela mereka.

“Di bawah kerajaan Perpaduan Malaysia Madani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berusaha gigih untuk membela dan menyelesaikan permasalahan masyarakat India yang pasti akan memakan sedikit masa membawa perubahan itu.

“Maka, saya sangat optimis pengundi India di Kuala Kubu Bharu bertindak bijaksana dan matang membuat keputusan bijak 11 Mei nanti untuk masa depan mereka,” tegasnya. – MalaysiaGazette