Balu Allahyarham Komander Muhammad Firdaus, Soffiah dan anaknya, Muhammad Anas menyiram air di pusara suaminya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Jenazah Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli, 44, yang maut dalam nahas pesawat bertembung di udara dan terhempas di TLDM Lumut, Perak selamat dikebumikan di kampung halamannya di Sungai Nibong Besar di sini malam ini.

Lebih 1,000 jemaah termasuk ahli keluarga allahyarham menyertai solat jenazah sebelum proses pengebumian selesai kira-kira 8.50 malam.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir, pegawai-pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM termasuk Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Azhan Md Othman Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob serta exco kerajaan negeri.

Kira-kira 1,000 jemaah mendirikan solat jenazah di masjid berkenaan.

Laksamana Tan Sri Abdul Rahman menyerahkan Jalur Gemilang kepada balu Allahyarham, Soffiah Sadon, 42, bagi menyempurnakan istiadat pengebumian.

Sementara itu, Soffiah dilihat mengucup serta menitiskan air mata ketika menerima Jalur Gemilang yang menutup keranda suaminya selepas istiadat pengebumian berakhir sambil mendukung anak tunggal mereka, Muhammad Anas, 4.

Terdahulu, orang ramai mula berkumpul di perkarangan masjid berkenaan bermula 5 petang tadi.

Soffiah menitiskan air mata selain mencium Jalur Gemilang yang digunakan bagi menutup keranda suaminya.

Selain itu, suasana pilu turut menyelubungi sebaik sahaja van yang membawa jenazah Allahyarham tiba di masjid tersebut pukul 7.40 malam.

Media semalam melaporkan dua helikopter TLDM iaitu pesawat HOM (503-3) dan Fennec dilaporkan terhempas ketika menjalani latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan mereka yang terkorban ialah Pegawai Memerintah Skuadron 502, Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan T. Sivasutan (juruterbang Skuadron 502) serta Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi (Kuartermaster Udara Skuadron 502).

Mangsa lain Pegawai Memerintah Skuadron 503 Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin, Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503 Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohd Marzukhi dan Kuartermaster Udara Skuadron 503 Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun.

Tiga anggota wanita yang maut pula ialah Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna dari Markas Udara TLDM, Pegawai Waran II Norfarahimi Saedy (Depot Bekalan Armada Barat) dan Bintara Muda Nor Rahiza Anuar (Depot Bekalan Armada Barat). – MalaysiaGazette