Rusdi Mohd Isa

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada ada pertuduhan atau tidak ke atas 10 individu termasuk tiga lelaki warga asing yang masih direman kerana disyaki mempunyai kaitan dengan lelaki Israel bersenjata api, Avitan Shalom bergantung kepada hasil siasatan polis kelak.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kesemua suspek itu kini masih sedang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari.

“Kesemua suspek kini ditahan di lokap yang terletak di ibu negara dan tempoh tahanan ke atas tujuh individu akan tamat pada 14 Mei depan manakala tiga warga asing tamat reman pada 15 Mei depan.

“Seminggu sebelum itu, keputusan tuduh, bebas atau usir (bagi warga asing ditahan) adalah bergantung kepada hasil siasatan polis nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai perkembangan terbaharu siasatan kes tersebut dalam sidang media rampasan dadah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rusdi mengesahkan seorang daripada warga asing yang ditahan merupakan pemegang pasport Amerika Syarikat (AS) dan masuk ke negara ini menggunakan visa pelancong.

“Meskipun suspek memegang pasport AS tidak semestinya dia berasal dari negara berkenaan maka kita masih menjalankan siasatan dalam kes ini,” ujarnya lagi.

Pada 19 April lalu, Rusdi mengesahkan 10 daripada 18 individu telah ditahan di bawah SOSMA bagi membantu siasatan kes berkaitan lelaki Israel, Avitan Shalom yang dituduh memiliki enam senjata api dan 158 peluru di ibu negara 27 Mac lalu.

Daripada jumlah itu, tiga terdiri suspek utama iaitu Avitan dan juga pasangan suami isteri warga tempatan dari Kuala Selangor telah pun dituduh di mahkamah atas dakwaan memiliki dan membekalkan senjata api manakala lima lagi suspek telah dibebaskan.

Manakala 10 lagi individu yang sebelum ini direman bagi siasatan lanjut mengikut Akta Senjata Api 1971 telah ditahan semula polis untuk disiasat di bawah SOSMA.

Siasatan itu dilakukan mengikut Seksyen 130 (1) Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang.-MalaysiaGazette