Gambar hiasan

ALOR SETAR – Taktik penyamaran anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai penumpang ‘mengena’ apabila berjaya mengesan tiga pemandu bas ekspres membuat panggilan video dan siaran langsung menerusi aplikasi TikTok ketika pemanduan, menerusi Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 yang bermula 1 hingga 20 April lepas.

Timbalan Pengarah JPJ Kedah Shahrul Azhar Mat Dali berkata, ketiga-tiganya yang berusia 52 hingga 54 tahun itu dikesan melakukan kesalahan berkenaan pada 1 dan 18 April lepas ketika dalam perjalanan dari Terminal Bas Shahab Perdana, di sini ke Ipoh dan Kuala Lumpur.

“Kita (JPJ) dah banyak kali mengingatkan operator bas dan pemandu berkaitan kesalahan itu, namun masih berlaku… mereka kita saman serta-merta kerana boleh membahayakan penumpang lain.

“Alasan diberikan untuk berkomunikasi, tetapi tak kena pada tempat dan masa, ini menunjukkan sikap dan tahap kesedaran pemandu bas terbabit masih rendah dan tidak mencapai apa kita harapkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan meneliti kes berkenaan selanjutnya dan akan mengajukan kes kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan lanjut sekiranya perlu.

Shahrul Azhar berkata sepanjang operasi berkenaan sebanyak 54,821 kenderaan telah diperiksa dan 432 kenderaan disita, manakala 10,151 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya di negeri ini atas pelbagai kesalahan terutama tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

Kerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi berkenaan, katanya turut berjaya menahan empat pemandu bas berusia 40 hingga 60-an yang dikesan positif dadah jenis Methamphetamine selepas ujian air kencing dijalankan.

Dalam perkembangan lain, Shahrul Azhar berkata pihaknya menahan seorang lelaki warga Vietnam berusia 24 tahun setelah didapati menggunakan lesen memandu palsu ketika memasuki negara ini di sempadan negara di Bukit Kayu Hitam pada 9 April lepas.

Beliau berkata hasil soal siasat, lelaki itu memaklumkan dia membeli lesen memandu palsu berkenaan menerusi aplikasi WeChat dengan membayar RM2,000.

“Kita masih menyiasat sama ada ia melibatkan sindiket atau ada lagi warga asing yang menggunakan lesen memandu palsu,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast