Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki

GUA MUSANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memberikan notis pengisytiharan harta, dengan tarikh akhir pada 28 April ini, kepada pegawai kanan polis yang ditahan kerana disyaki melindungi sindiket haram di ibu negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya masih menunggu pengisytiharan harta daripada pegawai kanan terbabit.

“Kes berkenaan akan dibawa kepada timbalan pendakwa raya bagi arahan selanjutnya untuk pertuduhan atau sebaliknya.

“Selain itu, kes ini masih dalam siasatan kami dan selepas 28 April ini pegawai penyiasat SPRM akan menyegerakan tindakan penyiasatan berhubung apa yang dilaporkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat SPRM cawangan Gua Musang yang baharu di tingkat 1, Bangunan Persekutuan daerah itu di sini, hari ini.

Azam berkata selepas menerima notis pengisytiharan harta daripada pegawai penyiasat SPRM, beliau memberikan tempoh dua minggu kepada pegawai terlibat untuk menyiapkan laporan akhir kes berkenaan.

Menurutnya, proses penyiasatan perlu mengikut undang-undang sebelum pertuduhan dilakukan meskipun terdapat penemuan wang tunai di premis milik pegawai kanan polis terbabit.

“Ada satu perkara yang mengikut undang-undang kita perlu patuhi yang mana beliau telah diberi notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009 yang menghendaki dia (pegawai kanan polis) untuk mengisytiharkan hartanya,” katanya.

Pada 23 Mac lepas, seorang pegawai kanan polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Berikutan itu, hasil pemeriksaan di beberapa premis milik pegawai kanan tersebut berjaya menemukan wang tunai berjumlah lebih RM2 juta.

Sementara itu, Azam mendedahkan sebanyak 22 kes jenayah rasuah dan salah guna kuasa melibatkan pelbagai isu di Gua Musang ini dikesan SPRM dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata antara kesalahan dikesan membabitkan isu penguatkuasaan, pendidikan, pentadbiran, hal mineral dan hutan.- BERNAMA