KANGAR – Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli bersikap terbuka dan tidak menyimpan sebarang prasangka terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), susulan penahanan anak lelakinya oleh agensi itu, pada Selasa.
Sambil mengakui anaknya antara enam ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen dan tuntutan palsu sejak dua tahun lepas, beliau berkata, ia merupakan satu ujian buat diri serta keluarganya.
“Ujian yang mai (datang) ini saya akan hadap dengan baik, sekiranya anak saya bersalah hukumlah dia. Saya dah beri dia pendidikan dan ilmu, saya selalu pesan, tapi kalau buat juga dan kena (tahan), nak buat macam mana,” katanya pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan anak lelaki seorang menteri besar antara enam ditahan reman SPRM, bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen dan tuntutan palsu bernilai RM600,000 sejak dua tahun lalu.
Tahanan reman terhadap anak lelaki menteri besar itu dilanjutkan hingga esok (Jumaat) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Selain itu, tempoh reman empat lagi individu dalam kes sama turut dilanjutkan hingga esok, manakala seorang penjawat awam di Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri berusia 20-an yang juga direman sebelum ini, dibebaskan setelah siasatan terhadapnya selesai.
Menurut sumber, siasatan dilakukan berhubung kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu, sedangkan kerja-kerja melibatkan baik pulih, penyelenggaraan, pembekalan dan perkhidmatan bermula dari 2022 sehingga kini, tidak dilaksanakan. – BERNAMA