Universiti Malaya di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memohon maaf dan kesal dengan kenyataan berbaur pro-zionis oleh penceramah jemputan dari Amerika Syarikat, Dr. Bruce Gilley yang menuduh pemimpin Malaysia menganjurkan holocaoust terhadap penganut Yahudi.

Sebelum itu, UM menjemput Bruce memberikan ucaptama di sebuah program anjurannya di Kuala Lumpur.

“Kami memandang serius perkara ini kerana dianggap tidak menghormati sentimen dan sensitiviti masyarakat.

“Untuk memastikan perkara ini tidak berulang, kami akan menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat dalam menyemak latar belakang mana-mana individu dan pihak yang akan bekerjasama dengan UM,” katanya dalam sebuah kenyataan Pusat Komunikasi Korporat hari ini.

Menurutnya, UM akan terus menyokong pendirian kerajaan yang menentang sebarang agenda zionis dan menyokong penuh usaha mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka yang sah.

Dalam pada itu, pihaknya turut mengecam kenyataan melampau dimuat naik Bruce mengenai aspek keselamatannya ketika menggembara ke Malaysia yang juga telah mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia.

Terdahulu, UM menerima kecaman hebat orang awam kerana membenarkan ahli akademik itu menyebarkan propaganda zionis dan menuduh ahli politik pro-Palestin di Malaysia menyebarkan kebencian terhadap orang Yahudi. – MalaysiaGazette